Terus kekalkan keharmonian serta ikatan perpaduan sedia terjalin demi aspirasi bersama

PANTAI JEREJAK – Ribuan pengunjung membanjiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2023 Ketua Menteri Pulau Pinang di SPICE Arena sebentar tadi.

 

 

Malah, ia turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor dan Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

 

 

Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang merupakan tahun Arnab (mengikut zodiak kalendar masyarakat Cina) pada tahun ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap ketangkasan, kebijaksanaan, kelincahan serta kepantasan yang menjadi sifat semulajadi haiwan berkaitan bakal menjadi pendorong dan panduan kepada semua untuk meneruskan misi serta visi dalam terus meletakkan Pulau Pinang  di mata dunia.

 

 

Menurut beliau, semangat itu adalah selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

 

“Tumpuan Kerajaan Negeri masih kekal dalam agenda-agenda pemulihan ekonomi dan sosioekonomi pasca pandemik COVID-19 tanpa meminggirkan mana-mana pihak di negeri ini.

 

“Justeru, saya ingin mengajak semua baik kerajaan mahupun swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelbagai organisasi berasaskan komuniti dan seluruh rakyat negeri ini untuk terus mengekalkan keharmonian serta ikatan perpaduan yang sedia terjalin demi aspirasi bersama dalam memacu pembangunan negeri serta negara yang lebih baik,” ujarnya pada majlis berkaitan di sini.

 

 

Hadir sama, Speker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan barisan Ahli Parlimen.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco bagi Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar yang telah membuka lembaran baharu dalam pembentukan Malaysia Madani.

 

 

“Saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri akan menyokong visi dan dasar baharu (Malaysia Madani) yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara  dan negeri Pulau Pinang khasnya.

 

 

“Berbekalkan latar belakang dan pengalaman beliau (Anwar) yang luas, saya percaya kepimpinan Perdana Menteri mampu mencipta magis kepada negara Malaysia secara keseluruhan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

Anwar dalam pada itu juga merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri yang berjaya memacu Pulau Pinang dengan memusatkan kemajuan industri, teknologi, alam sekitar dan isu-isu berkaitan rakyat.

 

Pembukaan sambutan majlis berkenaan dimulakan dengan acara ‘lor sang’ dan kemudian disusuli dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang mempersonakan.

 

 

Pelbagai juadah makanan turut dihidangkan dan pada penghujung  majlis, Kon Yeow turut mengambil kesempatan menyampaikan ‘angpow’ kepada kanak-kanak yang hadir.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS