Terus patuhi SOP hingga capai imuniti kelompok – Exco

PULAU TIKUS – Rakyat di negeri ini dinasihati supaya terus mendisiplinkan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun pemberian suntikan vaksin COVID-19 kini giat dilaksanakan di negara ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, walaupun vaksin COVID-19 tiba secara berperingkat sejak 21 Februari 2021, tidak bermakna pematuhan SOP dan tindakan kesihatan awam diabaikan.

 

“Saya telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) supaya mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelanggaran SOP di lokasi-lokasi awam.

 

“Usaha (pemantauan dan penguatkuasaan) bagi membendung perebakan COVID-19 perlu diteruskan walaupun data harian menunjukkan penurunan (kes positif yang dilaporkan) dan suntikan vaksin diberikan,” ujarnya kepada pemberita sejurus mengadakan pemeriksaan mengejut pematuhan SOP dan mengedarkan pelitup muka kepada peniaga dan pengunjung di Pasar Awam Pulau Tikus pagi ini.

 

JAGDEEP Singh Deo (berkemeja putih) ketika mengadakan sidang media sejurus pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Pulau Tikus. Turut sama Ir. Addnan Mohd. Razali (kiri) dan Chris Lee Chun Kit (kanan).

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli Majlis bagi MBPP, Connie Tan Hooi Peng serta wakil-wakil jabatan berkaitan.

 

Dalam pada itu, Jagdeep turut menyeru rakyat di negeri ini untuk mendaftarkan diri sebagai penerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melalui aplikasi MySejahtera bagi mencapai komuniti kelompok.

 

“Data sehingga semalam menunjukkan di Pulau Pinang hanya 226,690 individu telah mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

 

“Jumlah ini masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah rakyat Pulau Pinang iaitu 1.78 juta orang.

 

“Justeru, segeralah mendaftarkan diri kerana kita masih belum menang dalam peperangan melawan COVID-19,” tegasnya.

 

Nada sama turut disuarakan oleh Chun Kit yang menawarkan perkhidmatan untuk membantu penduduk di Pulau Tikus mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin bagi fasa-fasa berikutnya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut memberitahu bahawa sehingga Mac 2021, sejumlah 30 premis telah diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

 

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan atas usaha dalam memastikan orang ramai terus mematuhi SOP terutamanya di lokasi-lokasi awam di negeri ini.

 

“Sukacita saya mengumumkan bahawa kadar pematuhan SOP bagi kedua-dua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan, di bahagian Pulau dan Seberang Perai melebihi 99 peratus,” katanya.

 

KELIHATAN penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang sedang mengadakan pemantauan di Pasar Awam Pulau Tikus dekat sini.

 

Sementara itu, Addnan turut menyeru agar orang ramai terutamanya pengunjung di pasar-pasar awam untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

 

“Jika kita lihat pada hujung minggu jumlah pengunjung di pasar-pasar awam bertambah berbanding hari biasa.

 

“Jadi pihak MBPP akan meningkatkan usaha dengan menambah jumlah keanggotaan yang menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan SOP (dalam kalangan pengunjung pasar-pasar awam),” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING