Teruskan MOVAK ikut keperluan penjaja, peniaga Pulau Pinang – Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata berharap fasa dua Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK 2.0) dapat diteruskan pada masa hadapan sekiranya terdapat keperluan melibatkan peniaga dan penjaja kecil di negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ringkas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MOVAK 2.0 di Dewan Sri Pinang di sini pada 12 September 2021.

“Kepada Dato’ Mohamad (wakil MOVAK peringkat Persekutuan), sekiranya program ini perlu diteruskan, lebih bekalan dos (vaksin COVID-19) dapat dicapai,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada pemberita di sini tadi.

Sehingga kini, Jagdeep memberitahu bahawa MOVAK 2.0 peringkat negeri Pulau Pinang menerima 6,924 pendaftaran sungguhpun bekalan vaksin hanya 5,200 dos.

Dalam nada sederhana, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atas kolaborasi yang diteruskan demi memastikan lebih ramai populasi penduduk Pulau Pinang segera mendapat lengkap dua suntikan vaksin.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut merakamkan penghargaan kepada Khairy kerana memperluas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada kelas umur 19 tahun hingga 12 tahun sebelum sesi persekolahan secara bersemuka mula dibuka.

“Selain Pulau Pinang, beliau (Khairy) bersetuju untuk memberi vaksin kepada tiga juta kanak-kanak di seluruh negara sebelum mereka kembali ke sekolah,” sambil memberitahu program vaksinasi kanak-kanak berkenaan akan bermula dua minggu lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS