PADANG LALANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan keyakinan bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan terus kekal relevan dalam kancah politik tanah air terutama di negeri Pulau Pinang, sehingga mencecah usia satu abad pada tahun 2066.
Berucap pada sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan DAP sebentar tadi, Kon Yeow menegaskan bahawa kelangsungan itu bergantung kepada komitmen ahli terhadap teras perjuangan parti serta kebijaksanaan dalam memahami perubahan profil pengundi dari semasa ke semasa.
Menurut Kon Yeow yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, sumbangan terbesar parti sepanjang enam dekad lalu adalah peranannya dalam mencorak semula ekosistem demokrasi negara sehingga mewujudkan sistem dua parti gabungan.
“Saya pasti semangat ahli-ahli yang berhimpun di sini mahu meneruskan perjuangan sehingga DAP meraikan 100 tahun dengan pencapaian yang lebih baik berbanding hari ini.
“Kita (DAP) perlu realistik dengan perubahan politik Malaysia, yang mana gabungan pelbagai parti adalah perkara yang perlu diteliti,” jelasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri dalam majlis berkaitan di sini pada 19 April 2026.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut mengakui bahawa sentimen perkauman dan isu ‘3R’ (Agama, Raja, Kaum) kekal menjadi cabaran utama yang perlu didepani parti pada masa hadapan.
Mengulas lanjut mengenai penguasaan DAP dalam tampuk pemerintahan negeri Pulau Pinang selama 18 tahun sejak 2008, Kon Yeow menekankan bahawa kepercayaan rakyat adalah bersandarkan kepada rekod pencapaian dan tatakelola yang baik.
Dalam majlis sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyeru agar parti menggunakan tempoh 18 bulan akan datang untuk merangka hala tuju masa depan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 16.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah medan penting untuk membuktikan dasar inklusif DAP menerusi projek berimpak tinggi seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua.
Sambutan penuh bersejarah itu turut disertai barisan kepimpinan tertinggi termasuk veteran politik, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng (Penasihat Kebangsaan), Gobind Singh Deo (Pengerusi Kebangsaan), Steven Sim Chee Keong (Pengerusi Negeri), Nga Kor Meng (Bendahari) dan Hannah Yeoh (Timbalan Setiausaha Agung).
Acara gimik memotong kek dan penyampaian sijil penghargaan kepada 67 ahli veteran menjadi simbolik kepada keteguhan perjuangan parti yang diasaskan pada 18 Mac 1966 tersebut.