The Rise, Jalan S.P. Chelliah: PDC, Bahagian Perumahan Negeri diarah pantau rapi kerja pembaikan dan pemulihan kecacatan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengarahkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memantau rapi kerja-kerja pembaikan dan pemulihan kecacatan yang perlu dilaksana oleh pihak pemaju rumah mampu milik (RMM) The Rise dekat Jalan S.P. Chelliah di sini.

Arahan tersebut adalah lanjutan lawatan khas Kon Yeow yang meluangkan masa hampir satu jam turun padang ke bangunan Pakej B The Rise hari ini bagi mendengar aduan serta permasalahan pembeli-pembeli unit sebagaimana dilaporkan pihak-pihak berkaitan sebelum ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Kerajaan Negeri mengambil serius perkara ini dan pihak pemaju iaitu Zubicon Sdn. Bhd. serta semua kontraktor dilantik (oleh mereka) mesti mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah-masalah berbangkit yang dilaporkan oleh para pembeli.

“Sebagai pemaju, mengikut undang-undang di bawah perjanjian adalah bertanggungjawab untuk memperbaiki semua kecacatan yang dilaporkan oleh pembeli.

“Maka tanggungjawab ini perlu dilaksanakan oleh pemaju, dan PDC sebagai pengurus projek dan Bahagian Perumahan Negeri akan memantau secara rapi kemajuan kerja-kerja yang perlu dibaik pulih oleh pemaju.

“Saya percaya, para pembeli tidak berminat untuk mendengar alasan, mereka cuma ingin melihat tindakan diambil bagi setiap unit yang bermasalah dan kecacatan ini dibaik pulih segera.

“Pihak pemaju dan kontraktor dilantik mesti menjalankan tanggungjawab ini, wajib sehingga semua kecacatan ini diperbaiki bukan sahaja di unit-unit rumah malah common area juga,” tegasnya ketika mengadakan sidang media selepas sesi lawatan berkaitan di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Daniel Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota); wakil-wakil PDC serta Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri dan pihak pemaju.

Pada 9 Oktober lalu, sejumlah 952 unit daripada keseluruhan 1,048 unit di Pakej B The Rise telah menerima kunci unit masing-masing berserta borang kecacatan rumah.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi mengesahkan bahawa sehingga kini pihak pemaju telah menerima 500 borang kecacatan daripada pembeli-pembeli unit dan 150 daripadanya telah diambil tindakan pemulihan.

“Baki 350 unit rumah akan diselesaikan secara berperingkat dalam jangka masa tiga bulan sepertimana yang dimaklumkan oleh pihak pemaju, tetapi kita (Kerajaan Negeri) berharap pihak pemaju boleh kerahkan lebih banyak tenaga kerja dan sumber yang ada supaya tempoh ini boleh dipendekkan.

“Bagi 150 unit yang telah dibaik pulih, anda masih boleh menghantar kali kedua laporan pembaikan sekiranya masih tidak berpuas hati dengan kerja-kerja penambahbaikan yang telah dilakukan,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota.

Pakej B The Rise berkenaan merupakan rumah mampu milik dengan harga jualan RM200,000 bagi 800 kaki persegi (kp) dan RM300,000 (900sqft).

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD