Tiada aktiviti tambakan laut di selatan bahagian pulau P. Pinang sehingga kelulusan EIA (Jadual Kedua) diperoleh – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Laulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow mengesahkan bahawa tiada sebarang aktiviti tambakan laut dijalankan di selatan bahagian pulau Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini dengan merujuk kepada laporan media Bernama bertajuk, ‘DOE yet to get EIA report on Penang Reclamation Project’.

Menurut Kon Yeow, sehingga hari ini, tiada kerja-kerja ataupun aktiviti tambakan laut dijalankan di selatan bahagian pulau, Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri mengesahkan sehingga kini tiada kerja-kerja tambakan laut di lokasi tersebut dijalankan oleh mana-mana pihak termasuk rakan pelaksana projek (PDP), SRS Consortium Sdn. Bhd..

“Juga saya ingin menegaskan bahawa sebarang kerja-kerja tambakan bagi projek tersebut tidak akan dijalankan sehingga kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Terperinci (Jadual Kedua) diperoleh daripada jabatan kerajaan yang bertanggungjawab,” jelasnya pada sidang media di sini 5 April lalu.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri kini dalam peringkat penyediaan draf akhir Laporan EIA Terperinci (Jadual Kedua) bagi projek tambakan laut di selatan bahagian pulau Pulau Pinang itu.

“Sememangnya, Kerajaan Negeri masih belum mengemukakan Laporan EIA kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kita (Kerajaan Negeri) secara komprehensif akan menyediakan semua Laporan EIA termasuk lapan jilid kajian, iaitu Kajian Impak Alam Sekitar, Kajian Hidraulik, Kajian Impak Perikanan, Kajian Impak Sosial, Kajian Impak Trafik, Kajian Kualiti Air, Kajian Pendaratan Penyu dan Kajian Impak Tsunami.

“(Dan) kesemuanya akan dihantar kepada JAS selaras dengan keputusan Jawatankuasa Kawal Selia Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui mesyuaratnya tahun lalu,” ujarnya.

Tambah Kon Yeow, pihaknya akan mengemukakan Laporan EIA selewat-lewatnya hujung bulan April ini selepas membuat perincian.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berpegang dan menghormati undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan dalam mana-mana projek, sebelum melaksanakannya.

Malah, jelas beliau, Kerajaan Negeri tidak sama sekali akan memulakan kerja secara haram selagi tidak mendapat kelulusan berwajib. Sementara itu, pada majlis sama, Kon Yeow turut mengumumkan Ketua Jurutera baru bagi mengemudi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang, Dato’ Ir. Ang Aing Thye bersama-sama jurutera berwajib, Ir. R. Dharsini berkuat kuasa 1 Mac lalu.