Tiada alasan untuk rakyat enggan bersukan & beriadah, sebaliknya harusnya dijadikan amalan gaya hidup lebih sihat – Timb. Menteri Belia & Sukan

Admin

BERAPIT – Sambutan Hari Sukan Negara yang disambut saban tahun pada hari Sabtu kedua bulan Oktober bertujuan menjadikan aktiviti bersukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat masa kini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, melalui penganjuran Hari Sukan Negara, bukan sahaja komuniti melibatkan diri, malah agensi kerajaan berkaitan turut sama-sama menjayakannya.

“Tahun ini merupakan kali pertama Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) diadakan, dan saya lihat sejak 7 pagi hampir 3,000 umum mula berkumpul di Stadium Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat sini.

“Malah, saya sendiri bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee, berlari sejauh lima kilometer pagi ini (sebagai tanda sokongan terhadap sambutan Hari Sukan Negara),” ujarnya ketika ditemui sejurus perasmian program berkaitan di sini.

STEVEN Sim Chee Keong (kiri) dan Heng Lee Lee (kanan sekali) ketika ditemui pada penganjuran program berkaitan di sini.

Selain acara berlari, juga diadakan adalah acara sukaneka, zumba dan berbasikal yang turut disertai kontinjen Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah SPT.

Menurut Chee Keong, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa menggalakkan agar aktiviti bersukan sebegini menjadi aktiviti yang melibatkan semua pihak tanpa mengira jantina dan kaum.

Malah, semangat untuk melakukan aktiviti bersukan ini, katanya harus dipupuk dalam melahirkan generasi yang sihat dan aktif.

“Tidak perlu pun untuk kita membeli peralatan bersukan yang mahal-mahal bagi melakukan aktiviti sukan dan riadah.

“Macam saya sendiri, pagi ini saya berlari dengan memakai kasut yang dibeli di pekan Bukit Mertajam dengan harga RM7 sahaja…pun boleh berlari.

“Jadi tiada alasan untuk anda (rakyat) enggan bersukan atau beriadah kerana ia seharusnya dijadikan amalan untuk gaya hidup yang lebih sihat,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

AKSI Steven Sim Chee Keong (tiga dari kanan) yang berjaya menyempurnakan larian lima kilometer pagi tadi.

Difahamkan, lebih 60,000 individu menyertai sambutan Hari Sukan Negara yang disambut pelbagai peringkat di Pulau Pinang.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS