Tiada cadangan 5 Disember sebagai Hari Kebaya Negeri – Exco

Admin
8c013ae9 df5b 4d01 844f 41381ab6819a

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak berhasrat menetapkan 5 Disember setiap tahun sebagai Hari Kebaya, meskipun ia merupakan warisan budaya dunia yang tidak ketara.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai menyatakan perkara tersebut semasa sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 19 November 2025.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memberitahu bahawa buat masa ini Kerajaan Negeri telah menetapkan 7 Julai sebagai cuti umum negeri iaitu Hari Warisan George Town.

“Strategi Kerajaan Negeri adalah untuk mempromosikan kebaya semasa majlis bersesuaian dan bukan pada 5 Disember sahaja.

“Contohnya, kebaya telah ditonjolkan semasa Chap Goh Mei 2025, Perarakan Chingay 2025 dan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang serta semasa Penang Week di Osaka World Expo 2025,” jelasnya.

Dalam konteks lain, beliau menjelaskan bahawa 5 Disember merupakan tarikh ‘Sarapan Pagi Malaysia’ yang juga tersenarai sebagai warisan tidak ketara di bawah UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
Respons Wong Hon Wai itu adalah bagi mengulas syor yang dikemukakan oleh ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng, semasa membahaskan Belanjawan Pulau Pinang 2026 pada 17 November lalu.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING