Tiada guna PM perangi rasuah jika…

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Tiada gunanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan agenda ‘Memerangi Rasuah’ dalam Program Tranformasi Kerajaan (GTP) sekiranya beliau sendiri tidak berani mewajibkan semua menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta masing-masing secara terbuka.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini berkata, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ‘Memerangi Rasuah’ sepatutnya mendorong Najib membenarkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penyelewengan RM250 juta Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga seorang menterinya.

Ujar beliau lagi, pengaliran keluar negara kira-kira RM1,077 bilion wang haram termasuk rasuah sejak tahun 2000 hingga 2009 sepatutnya turut disiasat di bawah RCI.

“RCI diperlukan untuk menyiasat skandal ‘lembu dan kondo’ ini kerana pihak umum (rakyat) sudah hilang kepercayaan dalam SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) seperti yang ditunjukkan oleh penurunan dalam kadar dan kedudukan Transperency International (TI).

“Lebih teruknya adalah keengganan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan
RCI mengenai skandal ‘lembu dan kondo’ ini,” ujarnya pada satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Pada April 2009, Najib mengumumkan agenda ‘Memerangi Rasuah’ sebagai salah satu dari enam NKRA dalam GTP.

Namun, selepas tiga tahun, didapati Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diumumkan TI menyaksikan Malaysia menurun 4.3 daripada 10. Penurunan itu meletakkan Malaysia pada tangga ke-60 dari 183 negara. Disebabkan itu juga, beliau mempersoal langkah pentadbiran Najib memperuntukan lebih RM200 juta pada SPRM sejak tahun lepas.

Berbanding pada tahun 1996, beliau berkata, bajet RM29.4 juta kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berjaya meletakkan Malaysia pada tangga 26 dengan CPI tertinggi dalam 17 tahun, iaitu 5.32.

“Nampaknya lagi besar bajet, lagi ramai staf dan lagi banyak sumber yang diberi kepada SPRM (maka) lagi teruk keadaan rasuah di Malaysia ‘Ke mana perginya bajet hampir tujuh kali ganda atau lebihan sebanyak RM172.8 juta dalam bajet anti rasuah pada tahun 2011 berbanding 1996,” tegas Guan Eng.