Tiada hasrat wujudkan hab penternakan babi mega di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak berhasrat untuk mewujudkan hab penternakan babi mega di negeri ini sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu, kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Sebaliknya beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang berusaha untuk menyusun semula industri penternakan babi supaya lebih sistematik bagi mencegah pencemaran alam sekitar terutama di kawasan Kampung Selamat dan Kampung Valdor.

“Apa yang disebutkan oleh pemimpin PAS bahawa Pulau Pinang akan ada hab penternakan babi terbesar di kawasan orang Melayu adalah sangat tidak berasas.

“Sebenarnya apa yang kita terangkan adalah kita (Kerajaan Negeri) mahu menyusun semula industri ini supaya rawatan boleh dibuat secara lebih sistematik bagi mencegah pencemaran alam sekitar.

“Apa yang kita mahu adalah penternak (babi) mematuhi Enakmen (dan Peraturan) Penternakan Babi 2020 dan peraturan alam sekitar terutamanya dalam menguruskan kumbahan daripada penternakan babi.

“Itulah yang kita akan buat dan bukannya mewujudkan hab penternakan babi baharu sebagaimana didakwa kerana industri ini sebenarnya sudah pun lama ada di negeri ini,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi sebentar tadi.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal berkata, dakwaan berkenaan dibuat mungkin berdasarkan maklumat daripada Draf Rancangan Tempatan Seberang Perai (2030) yang masih belum dimuktamadkan.

“Tambahan pula, Kampung Selamat yang terdiri daripada Kampung Selamat Utara dan Kampung Selamat Selatan bukanlah kampung orang Melayu kerana majoriti (80 hingga 90 peratus) penduduk di kawasan itu adalah kaum Cina.

“Sebagai pemimpin dan orang berpendidikan, saya percaya dia memahami apa yang kita sedang lakukan tetapi sengaja hendak memutarbelitkan fakta untuk menimbulkan persepsi negatif masyarakat Melayu terhadap Kerajaan Negeri.

“Sebenarnya saya sedih dan kesian kepada PAS kerana mempunyai pemimpin dengan level pemikiran begini. Perkara mudah pun dia sukar hendak faham.

“Orang seperti ini tidak layak jadi pemimpin,” katanya yang diberi tanggungjawab mengetuai jawatankuasa tindakan menyelesesaikan pencemaran najis babi di Pulau Pinang.

Dr. Norlela Ariffin.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin pula berkata bahawa rancangan mewujudkan hab penternakan babi mega di negeri ini tidak berbangkit kerana tahap sara diri (SSL) daging babi sudah mencukupi.

“Keperluan penduduk Pulau Pinang untuk daging babi sebenarnya telah melebihi 200 peratus, jadi tidak perlu lagi adanya satu zon penternakan babi mega di negeri ini,” tegasnya.

Sementara itu, Persatuan Penternak Babi Pulau Pinang menolak dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh pemimpin PAS berkenaan.

Pengerusinya, Wong Soon Ping menjelaskan bahawa pihaknya tidak ada rancangan untuk membina hab penternakan babi mega di negeri ini seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“Saya berharap agar isu ini dapat dihentikan. Semua pihak perlu bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik di negeri ini dan bukannya membuat dakwaan yang tidak berasas.

Wong Soon Ping.

“Malah, kita (Persatuan Penternak Babi Pulau Pinang) merancang untuk menukar ladang babi kepada sistem tertutup yang lebih moden bagi mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

“Lagipun, kami mengikut garis panduan Veterinar dengan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan mengekalkan zon penampan sejauh 200 meter(m) dari kawasan kediaman,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti (MPKK) Kampung Selamat Utara.

Beliau berkata, sistem ladang tertutup yang lebih moden juga akan meningkatkan kualiti air sungai.

“Semuanya berjalan dengan lancar ketika ini,” tambahnya lagi.

Terdahulu, perwakilan PAS Pulau Pinang, Razib Abd Rahim mendakwa wujud usaha mengurangkan jumlah orang Melayu di Pulau Pinang melalui pelaksanaan projek mega termasuklah projek hab ladang babi, projek terowg dasar laut serta lebuh raya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : BULETIN MUTIARA