Tiada kompromi dalam isu rasuah dan salah guna kuasa, tegas Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan yang mendorong kepada aktiviti rasuah dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan perkara itu semasa berucap dalam majlis perhimpunan anggota perkhidmatan awam dekat Komtar di sini sebentar tadi.

“Kerajaan Negeri amat memandang serius dan peka terhadap isu-isu tadbir urus terutamanya melibatkan risiko rasuah dan pengukuhan integriti perkhidmatan awam negeri selaras dengan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023.

Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan penjawat awam melafazkan ikrar bebas rasuah sempena majlis perhimpunan penjawat awam dekat Komtar sebentar tadi.

“Malah, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 31 Julai 2021 turut mengambil pendekatan sama dengan meluluskan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2021-2024.

“OACP yang dibangunkan ini adalah bagi tempoh empat tahun akan datang amat signifikan dalam mencerminkan harapan rakyat untuk membentuk sebuah negeri bebas rasuah dengan warganya yang membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk sentiasa memelihara integriti dan memberikan perkhidmatan yang cekap, akauntabiliti dan telus kepada rakyat,” tegasnya.

Bergambar bersama-sama beberapa penjawat awam yang hadir.
Menyantuni anggota penguatkuasaan yang hadir pada majlis perhimpunan penjawat awam.

 

Kon Yeow berkata, iklim etika dan integriti yang tinggi dalam keseluruhan organisasi serta penjawat awam termasuk pemimpin tertinggi kerajaan akan mengurangkan risiko rasuah dalam pentadbiran secara keseluruhannya.

“Sebagai jentera pentadbiran, kita harus menyatakan dengan jelas bahawa pelaksanaan ini penting bagi membantu merealisasikan Visi Penang2030 dan memastikan perkhidmatan awam negeri mampu menangani rasuah menjelang tahun 2024,” serunya.

Pada masa sama, beliau turut menuntut keberanian penjawat awam untuk melaporkan berbuatan rasuah, salah guna kuasa atau jenayah tanpa mengira kedudukan mereka dalam perkhidmatan awam.

“Tidak wujud istilah ‘tidak mahu menabur pasir dalam periuk nasi orang’ kerana kita mempunyai akta yang kukuh untuk melindungi mereka yang melaporkan rasuah atau salah laku ini,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Ketua Menteri menyampaikan watikah kenaikan pangkat kepada Aziz Bakar yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sempena majlis perhimpunan penjawat awam dekat Komtar sebentar tadi.

 

Turut hadir dalam majlis itu ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, barisan ahli Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen serta ketua-ketua jabatan dan agensi negeri.

Pada majlis tersebut, semua barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta penjawat awam melafazkan ikrar bebas rasuah sebagai komitmen dalam menentang sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, Ahmad Jailani dalam ucapan beliau sebelum itu menyeru penjawat awam supaya memanfaatkan digitalisasi untuk memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Ini sebagai satu usaha bagi memaksa perkhidmatan tradisional yang kita diamalkan berpuluh tahun lamanya untuk beralih kepada perkhidmatan dalam talian yang lebih mudah, efisien dan efektif.

Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membangunkan banyak inisiatif dalam menuju perkhidmatan digitalisasi ini seperti memperluaskan sistem bayaran tanpa tunai, sistem permohanan dalam talian, aplikasi parkir pintar dan banyak lagi.

“Usaha-usaha ini telah memudahkan urusan rakyat secara khususnya sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial di negeri ini selain melindungi alam sekitar.

“Namun, dalam kita memacu elemen digitalisasi dan secara maya ini, kita juga harus melengapkan diri dengan pembudayaan yang lebih baik dan lebih mesra pelanggan sebagai penjawat awam di negeri ini,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING