Tiada lagi isu tertangguh berkaitan pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara, respons Menteri

Admin
drt2 ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) dalam sidang media berkaitan di ibu pejabat Rapid Penang, Lorong Kulit pada 10 Jun 2025.

GEORGE TOWN – Notis permulaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang patut dikeluarkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) dan terus dinanti-nantikan oleh Kerajaan Negeri serta SRS Consortium sebelum ini (untuk memulakan projek pembinaan rel awam moden negeri sulung), telahpun diselesaikan dalam mesyuarat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada bulan Mei 2025.

drt4
ANTHONY Loke Siew Fook

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata demikian seusai merasmikan majlis pelancaran operasi 50 van ‘Demand-Responsive-Transit’ (DRT) atau lebih dikenali sebagai Rapid Penang On-Demand di ibu pejabat perkhidmatan bas awam negeri tersebut dekat Lorong Kulit di sini pada 10 Jun 2025.

“Semua isu-isu berkenaan LRT Pulau Pinang antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah diselesaikan dengan baik.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat bersama-sama Ketua Menteri (Kon Yeow) di Kementerian Pengangkutan pada bulan lalu (Mei 2025)… semua isu tertangguh termasuk ‘surat’ (Notis Permulaan Projek LRT Laluan Mutiara) telah diselesaikan.

“Sekarang pun, telah ada laporan media menyatakan bahawa kontraktor utama telah dianugerahkan tender kontraktor sampingan mereka, jadi, kerja-kerja (tanah) akan bermula tidak lama lagi (iaitu) dalam satu atau dua bulan akan datang,” responsnya yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan dalam sidang media berkaitan di sini pada 10 Jun 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Siew Fook menyatakan bahawa kementeriannya turut berharap Pihak Berkuasa Negeri dan firma pelaksana projek LRT Laluan Mutiara dapat melaksanakan sistem pengurusan serta pelan lencongan trafik berwajib, sepanjang tempoh kerja-kerja menanam tiang pancang konkrit dilaksanakan kelak.

drt5
KETUA Menteri (tengah) dengan diiringi Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai, S. Sundarajoo (kiri) dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Norazizi Adinan (kanan) dalam sidang media berkaitan di sini pada 19 April 2025.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa selagi MRT Corp. selaku syarikat milikan penuh Kerajaan Persekutuan tidak mengeluarkan Notis Permulaan berwajib, SRS Consortium sebagai firma pelaksana projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang tidak dapat memulakan kerja-kerja pembinaan bagi sistem mengangkutan darat moden negeri sulung tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu perkara itu dalam sidang media berkaitan, seusai merasmikan Majlis Pelancaran Stesen Kitar Semula Sisa Elektronik (e-waste) kawasan Parlimen Batu Kawan dekat Design Village Outlet Mall pada 19 April 2025.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN