Tiada sambutan punca enam kompleks penjaja MBPP diswastakan

TAN Soo Siang

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan melaksanakan penswastaan enam kompleks pasar dan tapak penjaja milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dengan tempoh kontrak selama tiga tahun.

Enam premis berkenaan adalah Tapak Penjaja Sementara Desa Green, Kompleks Desa Genting, Tapak Penjaja Lintang Minden 2, Tapak Penjaja Lot 10126 Jalan Paya Terubong (bersebelahan Politeknik Bistari Relau), Tapak Penjaja Sri Wangsa Lorong Perak dan Pasar Dato’ Keramat.

Ahli Majlis bagi MBPP, Tan Soo Siang berkata iklan mengenai penswastaan premis tersebut dibuka pada 14 November 2023 dengan sesi taklimat dan lawatan tapak akan diadakan pada 20 November sebelum tarikh tutup pada 27 November.

“Syarat kelayakan penyertaan mestilah terdiri daripada syarikat-syarikat yang berdaftar di bahagian Pulau dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan masih dibenarkan menyertai sebut harga,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di Bilik Mesyuarat Jabatan Pelesenan MBPP, Jalan Padang Kota Lama di sini pada 9 November 2023.

Menjawab soalan pemberita, Soo Siang memberitahu bahawa Tapak Penjaja Sementara Desa Green sahaja dikenal pasti aktif sebelum ini, tetapi pihak penyewa tunggal premis tersebut sudah meninggal dunia dan memerlukan proses sebut harga semula.

“Walaupun MBPP pernah buka sesi temu duga sebelum ini, tetapi tiada permohonan (penyewaan lot komersial tersebut), tiada sambutan dan tidak aktif,” jelasnya sambil berharap cadangan penswastaan tersebut akan ‘menghidupkan semula’ aktiviti peniagaan di kesemua enam kompleks milik MBPP tersebut.

Beberapa Ahli Majlis MBPP lain, Bakar Noordin, Koay Gaik Kee, Mohd Faruk Abdul Rahman, Chan Soon Aun dan Chong You Ray turut sertai sidang media tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING