Tiada semakan tarif tahun 2021, PBAPP beri subsidi air domestik RM97.3 juta

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) mengumumkan bahawa tiada semakan tarif air di Pulau Pinang melalui hasil tinjauan pada tahun 2021.

 

Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAPP, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa setiap semakan tarif air bagi setiap negeri di Semenanjung Malaysia adalah tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan sebelum diwartakan sebagai undang-undang berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).

 

“Pada Julai dan Disember 2020, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengumumkan bahawa semua cadangan semakan tarif air di Malaysia ditangguhkan kerana kesan sosioekonomi akibat pandemik,” ujarnya melalui siaran media bertarikh 20 Jun 2022 pada Mesyuarat Agong Tahunan PBA Holdings Berhad (PBAHB) Ke-22 yang diadakan secara maya di sini.

 

Menurut Kon Yeow, natijah penangguhan tersebut, PBAPP selaku operator bekalan air berlesen untuk Pulau Pinang terpaksa menanggung subsidi air domestik berjumlah RM97.3 juta pada 2021.

 

CHOW Kon Yeow

 

Subsidi air domestik ini ditanggung kerana purata tarif air di Pulau Pinang untuk 35,000 liter pertama sebulan adalah RM0.32 sen setiap 1,000 liter, tarif air paling murah di Malaysia.

 

 

“Hal ini bermakna, PBAPP memberi subsidi kepada setiap seorang daripada 571,219 pengguna domestik berdaftar untuk penggunaan air sehingga 35,000 liter sebulan pada tahun lalu (2021),” katanya.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow berpandangan bahawa subsidi air domestik ini tidak mampan walaupun ia dilihat mesra rakyat.

 

“Ada tiga sebab utama, pertama ia meningkatkan penggunaan domestik per kapita di Pulau Pinang sebanyak 27 liter per kapita per hari (LKH) atau 9.6 peratus dalam dua tahun (281 LKH pada 2019 menjadi 308 LKH pada 2021).

 

Peningkatan 27 LKH ini mungkin tidak ketara sehingga didarabkan dengan 1.776 juta orang menjadi 48 juta liter sehari (MLD) dan tanpa campur tangan, penggunaan domestik per kapita akan terus menjadi tidak terkawal.

 

“Keduanya, ia meningkatkan keperluan infrastruktur bekalan air baharu bagi menyokong permintaan air yang lebih tinggi dan menjejaskan perkhidmatan bekalan air sehingga ke tahap PBAPP kini terpaksa menangani isu bekalan air di beberapa kawasan di Seberang Perai Selatan (SPS),” jelas Exco Pembangunan Tanah dan Ekonomi itu.

 

Oleh demikian, Kon Yeow menyatakan bahawa pada 30 Mac 2022, PBAPP sebagai operator bekalan air berlesen untuk Pulau Pinang telah mengemukakan Pelan Perniagaan Ke-Lima kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

 

“Dalam pelan perniagaan tersebut, PBAPP menggariskan keperluan semakan tarif air di Pulau Pinang kerana perlu mengumpul lebih banyak dana untuk projek bekalan air baharu bagi mengelak isu bekalan air lebih meluas berpunca daripada permintaan yang semakin meningkat.

 

“Keuntungan selepas cukai yang diperoleh PBAPP tidak mencukupi kerana pelaburan untuk satu projek bekalan air mungkin mencecah ratusan juta ringgit.

 

“(Dan) pihak PBAPP sedang berhubung dengan SPAN untuk mendapatkan kelulusan bagi pelan perniagaan serta semakan tarif air yang disertakan,” ulasnya sambil menegaskan sekali lagi bahawa semakan tarif adalah tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

 

Menerusi siaran media sama, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBA Holdings Berhad (PBAHB) turut mengumumkan keuntungan selepas cukai (PAT) PBAHB sebanyak RM36.74 juta bagi tahun kewangan 2021, kenaikan RM11.98 juta atau 48.4 peratus, tahun ke tahun.

 

“Bagi tahun kewangan 2020, PBAHB melaporkan PAT sebanyak RM24.76 juta.

 

“PAT lebih tinggi direkodkan (pada tahun kewangan 2021) adalah disebabkan faedah cukai tertunda kira-kira RM9 juta yang diperoleh PBAPP.

 

“Ia berkaitan penggunaan ‘elaun pelaburan semula’ atau RA yang tidak diserap sebanyak kira-kira RM78 juta pada tahun 2021 berbanding RM12 juta (2020),” katanya.

 

Selain itu, tahun 2022 menandakan tahun ke-21 berturut-turut PBAHB meluluskan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 1 sen sesaham kepada 7,942 pemegang saham.

 

“Keseluruhan pembayaran dividen akhir ini adalah berjumlah RM3.31 juta,” ulasnya lanjut.

 

Sebagai rekod, pada 27 Februari 2020, Kerajaan Persekutuan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (di bawah P.U.(A) 268) mana-mana syarikat layak menuntut elaun modal dipercepatkan pada kadar 20 peratus untuk elaun permulaan dari 40 peratus bagi elaun tahunan perbelanjaan modal yang ditanggung pada 1 Mac sehingga 31 Disember 2020, berhubung peruntukan jentera dan peralatan termasuk peralatan teknologi maklumat dan komunikasi yang digunakan dalam perniagaan.

 

Berikutan peraturan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), PBAPP kehabisan elaun modal yang tidak diserap yang dibawa ke hadapan dalam beberapa tahun akan datang mengakibatkan peningkatan dalam penggunaan RA yang tidak diserap.

 

Secara ringkas, PBAHB melaporkan PAT yang lebih tinggi untuk tahun 2021 disebabkan peningkatan faedah cukai tertunda yang boleh direalisasikan pada tahun-tahun mendatang.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ARKIB BULETIN MUTIARA