Tibi masih menjadi salah satu masalah kesihatan awam utama dan memerlukan perhatian sewajarnya

Admin

SUNGAI ACHEH – Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bebas daripada jangkitan penyakit Tibi dalam beberapa tahun akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya semua pihak dapat merangka strategi dan meneruskan komitmen yang padu pada setiap tahun.

“Berdasarkan laporan Persatuan Kesihatan Dunia (WHO), di Pulau Pinang masih mencatatkan 1,228 kes jangkitan penyakit Tibi yang perlu diberikan rawatan.

Chow Kon Yeow mencuba menggunakan mikroskop iaitu peralatan khas untuk mengenal pasti jenis kuman dan virus menjadi punca penyakit.

“Walau bagaimanapun, saya percaya dengan komitmen daripada pihak (Jabatan) Kesihatan dan penglibatan masyarakat terutama sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta barisan media akan dapat meningkatkan lagi kesedaran mengenai penyakit ini.

“Justeru, mana-mana individu yang mempunyai simptom-simptom penyakit ini (Tibi) perlu mendapatkan pengesahakan di klinik kesihatan atau hospital supaya rawatan dapat dimulakan dengan segera.

Program turut dimeriahkan dengan pameran kesihatan oleh agensi-agensi berkaitan.

p

“Kita percaya penyakit Tibi boleh dirawat dalam masa kurang dari setahun, tetapi jika tidak dirawat penyakit ini boleh berjangkit kepada ahli-ahli keluarga atau rakan sekerja yang lain.

“Oleh itu, adalah sangat penting bagi individu yang dijangkiti penyakit Tibi untuk menerima rawatan supaya ia tidak menjangkiti orang-orang di persekitarannya,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye; Ahli Palimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Dr. Shazlin Umar; Pengetua MRSM Transkrian, Abdul Tingoon serta ramai lagi.

Berucap sebelum itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Rokiah Mohd. yang menjelaskan bahawa sambutan Hari Tibi Sedunia dianjurkan setiap tahun bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap penyakit berkenaan.

“Tibi masih lagi menjadi salah satu daripada masalah kesihatan awam yang utama dan memerlukan perhatian sewajarnya daripada semia pihak.

“Justeru, semua pihak perlu melipatgandakan usaha untuk membendung penyakit Tibi khasnya di negeri ini,” katanya yang mewakili Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah.

Difahamkan, mereka yang menghidap penyakit Tibi akan mengalami beberapa simptom seperti batuk berpanjangan (melebihi dua minggu), demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN