Tidak hina khilafiah dan berpolitik antara syarat tauliah – TKM I

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menegaskan bahawa setiap orang yang telah diberi tauliah di negeri ini masih tertakluk kepada syarat-syarat yang digariskan dalam Kaedah-Kaedah Pentadbiran Aktiviti Yang Berkaitan Dengan Pengajaran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 1998.

 

 

Antaranya kata Mohamad, adalah tidak menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta tidak menyentuh apa-apa perkara yang berhubung dengan kebesaran, kemuliaan, kedaulatan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai ketua agama negeri.

 

 


“Syarat lain juga termasuklah tidak menyinggung perasaan mana-mana kaum, agama, adat resam serta budaya penduduk tempatan yang boleh membawa ketegangan kaum dan agama selain tidak menghina perkara-perkara khilafiah yang terdapat
dalam empat mazhab.

 

 

“Mereka yang mendapat tauliah juga tidak boleh menyentuh isu-isu politik kepartian, tidak menyentuh peribadi orang perseorangan dan hendaklah mematuhi apa-apa peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk keselamatan dalam negeri,” ujar Mohamad ketika menjawab soalan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah (Pembangkang) pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini semalam.

 

 


Sehubungan itu, Mohamad berkata, bahan atau isi kandungan yang disampaikan semasa ceramah sepatutnya tidak melanggar mana-mana syarat yang dinyatakan dalam perkara (i) hingga (vii) untuk mengelak timbulnya kontroversi atau menjadi isu dalam masyarakat.

 

 


“Saya selaku Timbalan Ketua Menteri I yang diamanahkan sebagai pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Agama Islam, sejak mengangkat sumpah jawatan ini pada 16 Ogos 2023 tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menghalang mana-mana individu tertentu menyampaikan kuliah agama di negeri ini.

 


“Sebaliknya, surat makluman penstrukturan s
emula dikeluarkan adalah berdasarkan enakmen dan kaedah peraturan yang dikeluarkan oleh JHEAIPP pada 23 Oktober 2023,” jelas ADUN Batu Maung itu lagi.

 

 

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mengajar hendaklah membuat permohonan mendapatkan tauliah.

 

 

“Berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri (Pulau Pinang) 2004 di bawah Seksyen 118.(1) Majlis hendaklah melantik suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam.

 

 

“Manakala Seksyen 118 (3) memperuntukkan bidang kuasa Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dalam memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan kuasa untuk menarik balik tauliah jika berlaku pelanggaran,” jelasnya.

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD