Tidak melancong komited jaga kambing peliharaan

ARSHAT Said memberi makan kambing peliharaannya.
ARSHAT Said memberi makan
kambing peliharaannya.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : ALISSALA THIAN

KESERONOKAN membantu orang tua menjaga haiwan ternakan pada zaman kanakkanak menjadi pendorong kepada Arshat Said, 56, untuk muncul sebagai salah seorang penternak kambing berjaya kini.

Bermula dengan hanya 10 ekor kambing dibeli daripada rakan menerusi wang pinjaman, Arshat mengambil inisiatif membiak sendiri baka-baka kambingnya bagi menambah bilangan sedia ada.

Malah, atas kesungguhan beliau, wang hasil pulangan jualan padi turut digunakan untuk tujuan berkenaan.

Tujuh tahun membanting tulang, jumlah bilangan kambing ternakan Arshat pernah mencecah 100 ekor. Namun, ekoran harga dedak yang kian meningkat, beliau terpaksa mengurangkan jumlah bilangan ternakan kepada 38 ekor kini.

ARSHAT Said meninjau kebersihan kandang kambing beliau.
ARSHAT Said meninjau kebersihan
kandang kambing beliau.

Bagi Arshat, walaupun penat dan perlu komited dengan rutin hariannya, beliau seronok melakukannya.

“Walaupun kita nampak ia bebas berkeliaran di merata tempat, kambing lazimnya merupakan haiwan ternakan yang sensitif dan memerlukan penjagaan rapi.

“Contohnya, kalau diserang cirit-birit, kambing tersebut hanya mampu bertahan selama dua hari sekiranya tidak dirawat dengan rapi,’’ jelasnya kepada Buletin Mutiara (BM) dalam temubual khas di kediamannya di Kampung 20 Tepi Laut Pasir Gebu, Penaga, Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.

Arshat menjelaskan, bagi mempelbagaikan jenis ternakan, beliau sebelum ini pernah menternak lembu susu. Namun, ekoran kos penjagaan serta makanan terlalu tinggi dan tidak memadai dengan jumlah hasil diperoleh, ia terpaksa dihentikan.

ARSHAT Said dan Che Embun Omar.
ARSHAT Said dan Che Embun Omar.

Begitu juga dengan ternakan kambing jenis boer yang ‘manja’ dan memerlukan penjagaan amat rapi berbanding spesis tempatan. Semua kambing ternakan Arshat dikurung di dalam kandang berkeluasan 70 kaki panjang dan 20 kaki lebar.

Umumnya, kandang yang mampu memuatkan 100 ekor kambing pada satu-satu masa itu perlu dibersihkan sekali dalam tempoh seminggu.

“Disebabkan harga dedak yang mahal, kambing-kambing ternakan hanya diberi makan dedak sekali sehari sahaja. Pada waktu petang, ia dilepaskan bebas untuk makan rumput di kawasan sekitar rumah,’’ nyatanya sambil menjelaskan bahawa kambing yang bebas adalah lebih ‘cantik’ kualitinya.

Ketika ditanya mengenai persaingan, Arshat menyatakan bahawa faktor tersebut tidak pernah menjadi cabaran perusahaannya kerana pasaran permintaan adalah jauh lebih tinggi.

“Pasaran daging kambing sentiasa ada. Malah, tidak mencukupi dengan bekalan sedia ada.

“Bekalan daging kambing saya hanya cukup untuk memenuhi pasaran kedai-kedai makan tempatan. Sekiranya di musim perayaan terutamanya Hari Raya, permintaan banyak meningkat dan tidak cukup,’’ ujar beliau.

Selain dijual daging, kambing-kambing diternak turut dijual dengan cara timbang hidup tanpa mengira usia sebaliknya saiz adalah lebih diutamakan.

Ketika sesi temubual sedang rancak diadakan, isteri Arshat, Che Embun Omar, 49, mencelah sambil menyatakan bahawa perusahaan tersebut secara tidak langsung ‘memaksa’ suaminya untuk sentiasa berada di rumah.

“Nak berjalan pun tidak boleh lama kerana sayangkan kambing,’’ seloroh ibu kepada enam cahaya mata itu.

Bagi perancangan masa depan, Arshat yang juga seorang nelayan berharap bahawa beliau dapat menambah jumlah kambing sedia ada dengan baka yang lebih baik.

ANTARA kambing peliharaan Arshat Said.
ANTARA kambing peliharaan Arshat Said.