Tidak patuh SOP, PBT diarah ambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas – Exco

Admin

PULAU TIKUS – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diminta supaya mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap individu yang tidak mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas sekiranya didapati berlaku pelanggaran SOP.

 

“Keutamaan Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terjamin.

 

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba ingkarinya dengan tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

 

JAGDEEP Singh Deo (kemeja belang) ketika bercakap kepada pemberita di hadapan Pasar Pulau Tikus dekat sini pagi ini.

“Sekiranya tidak patuh (SOP), pihak Majlis (iaitu MBPP dan MBSP) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” ujarnya kepada pemberita sejurus mengadakan pemeriksaan mengejut di Pasar Pulau Tikus dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta ketua-ketua jabatan berkaitan.

 

Menurut Jagdeep, pihaknya bersama-sama kedua-dua PBT kini giat menjalankan pemeriksaan mengejut ke premis-premis perniagaan seluruh negeri.

 

“Di bahagian pulau, sehingga 16 Ogos 2020, daripada 220,405 pemeriksaan yang dilaksanakan oleh MBPP mendapati kadar pematuhan pada kadar 99.56 peratus.

 

“Manakala MBSP pula telah melaksanakan 461,325 pemeriksaan dan telah merekodkan kadar pematuhan 99.35 peratus,” jelasnya.

 

Bagi pematuhan pemakaian wajib pelitup muka di tempat awam dan ruangan tertutup yang ramai orang pula, Jagdeep memaklumkan bahawa sehingga 16 Ogos lalu, hasil pemeriksaan dan pemantauan MBPP di 14 pasar awam dan MBSP di 11 pasar awal mendapati pematuhan 100 peratus.

 

“Terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang kerana memberi kerjasama dengan memakai pelitup muka.

 

“Suka saya ingatkan bahawa kita masih berada dalam PKPP dan mengikut peraturan undang-undang, semua perlu mematuhinya (segala arahan dan SOP yang ditetapkan).

 

“Sila patuhi SOP demi keselamatan diri sendiri dan kita tidak mahu berlakunya gelombang kedua atau ketiga (COVID-19) di negeri ini,” tegasnya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua barisan hadapan yang terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

SETIAP pengunjung disaring suhu badan dan diambil rekod bagi tujuan pengesanan kontak.

 

Mengulas mengenai kes positif yang direkodkan di Mukim 9, Daerah Barat Daya (di Teluk Kumbar), Jagdeep memberitahu bahawa MBPP telah mengambil ketetapan bagi mengawal penularan kes aktif.

 

“Salah satu daripadanya adalah dengan tidak membenarkan makan di dalam premis atau dine-in bagi semua penjaja serta penutupan sementara aktiviti pasar malam di dua lokasi.

 

“Selain daripada itu, MBPP akan terus meningkatkan pemantauan dan penutupan premis akan dilakukan sekiranya SOP tidak dipatuhi,” ulasnya.

 

Sementara itu, Tung Seang ketika mengulas keadaan di Pasar Pulau Tikus, memaklumkan bahawa keadaan amat terkawal dengan pemeriksaan suhu badan dilakukan di pintu masuk di hadapan pasar berkenaan.

 

“Walaupun MBPP telah memperketatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan, namun kita semua perlu berhati-hati dengan kes yang berlaku baru-baru ini.

 

AR. Yew Tung Seang.

“MBPP akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut keadaan semasa,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua pihak agar jangan mudah mempercayai berita tidak sahih yang ditularkan berhubung penularan kes COVID-19.

 

“Pihak Majlis (MBPP) akan berkongsi segala maklumat yang sahih dan rasmi melalui laman media sosial rasmi kami.

 

“Jadi, jangan mudah mempercayai berita tidak sahih kerana ia boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat,” serunya sambil berharap agar semua pihak dapat bertindak secara wajar apabila menerima sesuatu maklumat baharu.

 

 

Pendirian sama turut disuarakan oleh Chun Kit yang mana beliau meminta semua pihak supaya tidak mudah mempercayai maklumat tidak sahih.

 

“Hentikan penyebaran maklumat palsu mengenai COVID-19 kerana ia boleh mencetus panik dan ketakutan dalam kalangan masyarakat,” tegasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN