Tidak proses elaun JKKK kurang anggota – Rashid

Admin

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

PERAI – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon baru-baru ini menyarankan semua 290 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) negeri ini supaya melengkapkan keanggotaan masing-masing pada bulan ini agar pertubuhan berkenaan kelihatan lebih aktif dalam mewakili suara Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi.

Saranan itu dibuat bersempena dengan peluncuran buku Manual Gerak Kerja JKKK cetakan kedua pada Forum Hak Asasi Manusia: Polis & Hak Asasi Anda anjuran pejabat beliau di sini. Menurut Mohd. Rashid, sehingga kini, terdapat 110 JKKK yang sudah memenuhi jumlah keanggotaan, manakala 25 JKKK lagi masih tidak mencapai keanggotaan minimum sebanyak tujuh ahli.

“Sejajar dengan kenaikan elaun Pengerusi dan Setiausaha diumumkan semasa pembentangan Bajet 2014 November tahun lalu (2013), Kerajaan Ne g e r i memperkenalkan peraturan ini bagi memantapkan perkhidmatan JKKK,” katanya.

Tegas beliau, kegagalan memenuhi tuntutan ditetapkan akan mengakibatkan tuntutan elaun bagi Pengerusi, Setiausaha dan ahli yang menghadiri mesyuarat tidak akan diproses.

“Bayaran elaun hanya akan dibuat kepada JKKK yang sudah memenuhi keanggotaan sebanyak lapan ahli dan ke atas.

“Manakala, bayaran elaun bagi JKKK yang kurang aktif dengan tujuh ahli ke bawah akan ditangguhkan sehingga memenuhi jumlah keanggotaan minimum seramai lapan orang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid turut mengingatkan supaya JKKK lebih proaktif untuk menjana sumber kewangan masing-masing sama ada dari segi penganjuran pasar malam atau melalui perniagaanperniagaan lain.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Lee Khai Loon (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Machang Bubuk) dan Datuk Abu Jamal Nordin (Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Kerajaan Negeri).

Buku Manual Gerak Kerja JKKK yang diluncurkan tersebut merupakan edisi penambahbaikan bagi memenuhi kehendak semasa termasuk contoh format laporan kewangan rujukan bagi penyediaan laporan lebih teratur.