Tiga atlet hebat di gelanggang, raih 9A SPM

8a55276b 5f98 4dfc b049 9ba0c7827d5e

MEMBAHAGIKAN masa antara sukan dan pelajaran merupakan antara perkara yang rumit untuk dilakukan.

Namun, dengan pengurusan masa yang betul, ia bukan sesuatu yang mustahil kerana seseorang atlet mampu mencapai kejayaan dalam bidang sukan dan akademik secara serentak.

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama jurugambar, ALISSALA THIAN sempat menemu ramah tiga atlet remaja yang cemerlang dalam sukan dan berjaya memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Tiga atlet tersebut ialah IVAN CHANG JIA YU (atlet skuasy), S.A. LIMEETHA (skuasy) dan KENNARD MARTIN (floorball).

Atas kecemerlangan mereka dalam bidang sukan dan akademik, ketiga-tiga mereka menerima biasiswa Insentif Galakan SPM, yang mana setiap A membawa ganjaran sebanyak RM100.

Selain itu, mereka turut memperoleh Insentif Subsidi Kelas Tuisyen SPM sebelum ini.

2ad6d6a5 b1c1 4f87 9ded 43479b033257

Membuka bicara, Limeetha memberitahu bahawa meminati sukan skuasy sejak berusia enam tahun apabila melihat ratu skuasy negara, Dato’ Nicol Ann David di dada akhbar.

“Saya tanya kepada ayah ini siapa? Ayah cerita tentang beliau (Nicol), selepas daripada itu saya terus menceburkan diri dalam sukan tersebut,” ujarnya.

e6244b87 00ef 4872 b45c f743882b1077

Jia Yu pula memberitahu minat terhadap sukan skuasy bermula kerana di kediamannya terdapat sebuah gelanggang skuasy, justeru masa terluang sejak kecil digunakan untuk bermain di situ.

e401fd18 bf45 4821 87e1 9dc0dedcbf2e

Sementara itu, bagi Kennard pula menceburkan diri dalam sukan tersebut melalui abangnya yang terlebih dahulu bermain sukan yang agak baharu di Malaysia itu.

Bercakap mengenai kecemerlangan dalam sukan dan akademik, ketiga-tiga atlet muda tersebut sepakat bersetuju bahawa pembahagian masa merupakan kunci utama kejayaan mereka.

“Apabila masuk dalam bidang sukan sebenarnya kita akan lebih bertanggungjawab terhadap masa.

“Kita akan uruskan masa dengan lebih berhati-hati tanpa mahu rasa terbuang, ini akan menjadikan kita lebih cergas, cerdas dan sangat membantu dalam pembelajaran,” kata Limeetha.

Kejayaan tidak dicapai dengan mudah tanpa pengorbanan. Ada masanya saat-saat sukar akan hadir, namun Limeetha menggunakan permainan seperti puzzle dan sudoku sebagai terapi.

“Saya juga bertuah kerana menerima sokongan keluarga, kawan-kawan, guru-guru untuk saya mengharungi liku-liku seorang atlet dan mengejar kecemerlangan akademik.

5957a179 a316 45b3 983c 9425d412fee1

“Berada di aliran sains juga cukup mencabar bersama subjek Grafik Komunikasi Teknikal (GKT), keluarga dan rakan-rakan turut memainkan peranan membantu kerana ia melibatkan kreativiti,” jelasnya lagi.

Selepas ini, Limeetha bercadang menyambung pengajian pada peringkat A-Level. Di samping itu, minatnya terhadap skuasy tidak pernah pudar dan beliau juga bercadang menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan.

“Dari situ mungkin saya boleh mendapatkan dana untuk menyambung pelajaran saya juga,” jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn itu lagi.

Jia Yu pula berharap kejayaan yang diraih beliau mampu menjadi teladan kepada remaja yang ingin mencuba bidang sukan pada peringkat tertinggi.

Beliau tidak menafikan kesukaran untuk menyeimbangkan kedua-dua perkara tersebut kerana ia memerlukan motivasi yang tinggi.

bcd1961b 561a 451b 993a aba45e981e76

“Jadual saya juga sangat padat, balik daripada sekolah, jam 4 petang, saya perlukan rehat sebentar, lepas daripada itu baru ada tenaga untuk berlatih.

“Berkenaan latihan itu memang mencabar tetapi saya bernasib baik sebab dekat rumah memang ada gelanggang skuasy jadi tidak perlu pergi terlalu jauh untuk latihan.

“Untuk berdepan cabaran dalam pelajaran pula saya menggunakan mentaliti yang diterapkan dalam sukan, kerana semua orang tahu nak dapatkan mata demi mata dalam sukan memang susah, jadi ia dipraktikkan dalam pelajaran juga,” maklum pelajar SMK Bukit Jambul itu.

Menyentuh tentang sokongan keluarga, jelas Jia Yu, keluarganya turut memberi pilihan sama ada untuk meneruskan sukan sebelum SPM atau sebaliknya.

Namun, melalui perancangan rapi, beliau berjaya membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.

Hasilnya, beliau akan berangkat ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk menyertai kem skuasy kebangsaan.

Di sana, beliau akan menyambung pelajaran di salah sebuah kolej swasta yang dikatakan mampu menyediakan jadual fleksibel mengikut jadual latihannya.

Jia Yu turut sempat menitipkan nasihat kepada remaja yang mahukan kecemerlangan dalam sukan dan akademik agar mengurangkan penggunaan media sosial serta telefon pintar.

“Selain itu, buat persiapan awal tahun juga, supaya apabila dekat SPM anda tidak akan tertekan,” tegas Jia Yu lagi.

Bermain di posisi penjaga gol floorball dianggap satu cabaran besar oleh Kennard berbanding bermain di posisi lain.

“Oleh itu saya menggunakan ‘tekanan’ tersebut sebagai pemangkin bagi mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Di pihak keluarga pula mereka sering ingatkan saya walau apa pun, pelajaran tetap nombor satu, walau hebat macam mana pun dalam sukan,’’ maklum beliau yang turut menamatkan SPM di SMK Bukit Jambul.

eb812f99 0141 44a9 a26d 6e6b073831f3

Selepas ini, Kennard juga berhajat menyambung pelajarannya ke peringkat A-Level di luar negara serta berhasrat suatu hari nanti untuk kembali dan berkhidmat di Malaysia.

Beliau turut mengakui bahawa sukan floorball agak baharu dan masih memerlukan ruang secukpnya untuk berkembang.

Menutup temu bual, ketiga-tiga anak muda tersebut merakamkan ribuan terima kasih kepada MSNPP yang banyak menyokong kerjaya mereka sebagai atlet mahupun pelajar.

Mereka berharap insentif-insentif tersebut mampu menarik lebih ramai anak muda menyertai bidang sukan tanpa melupakan pelajaran demi menjadi atlet yang berwibawa.