Tiga jalan di Pulau Pinang ditukar kepada nama baharu

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak tiga jalan di bahagian pulau negeri ini telah ditukar kepada nama-nama baharu berkuat kuasa sejak bulan lalu.

Perkara tersebut diumumkan oleh Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari ketika mengadakan lawatan ringkas di jalan terlibat hari ini.

Jelasnya, jalan-jalan terlibat adalah Jalan Muntri di George Town, Lorong Kucing di Pulau Tikus serta Lorong Lembah Permai 9 dekat Tanjong Bungah.

Zairil menunjukkan papan tanda baharu Lebuh Muntri yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Muntri selepas mengadakan sidang media, di sini sebentar tadi.

“Penukaran nama-nama jalan terbabit adalah disebabkan beberapa faktor termasuk kesukaran dalam urasan surat-menyurat.

“Jalan Muntri kini dikenali sebagai Lebuh Muntri kerana nama asalnya Muntri Street, jadi terjemahan street itu sebenarnya adalah lebuh dan bukannya merujuk kepada jalan.

“Kedua, Lorong Kucing dekat Jalan Burma yang pada asalnya diambil daripada nama bandaraya Kuching di Sarawak kini ditukar kepada Lorong Kuching setelah dibakukan mengikut ejaan betul dalam bahasa Melayu.

“Manakala, Lorong Lembah Permai 9 pula ditukar kepada Lorong Lembah Permai 1 atas isu praktikal yang menyukarkan penduduk terutama semasa menggunakan perkhidmatan Grab dan urusan surat-menyurat.

“Jadi, sebahagian Lorong Lembah Permai 9 disambungkan ke Lebuh Lembah Permai 1 untuk memasukkan tiga buah rumah yang berada di lorong berkenaan,” ujarnya pada sidang media dekat Lebuh Muntri, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undanan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Lee Chun Kit; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), P. Kaliyappan dan Jurutera Kanan MBPP, Zainuddin Mohamad Shariff.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga ADUN Tanjong Bungah menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga kini dalam proses permohonan untuk menukar beberapa lagi nama jalan pada masa akan datang sekiranya dipersetujui.

“Untuk makluman, salah satu jalan yang sedang diproses untuk ditukarkan adalah Jalan Cheong Fatt Tze untuk ditukar semula kepada Hong Kong Street atas permintaan penduduk setempat.

“Oleh kerana Cheong Fatt Tze adalah tokoh di Pulau Pinang maka nama tersebut tidak boleh dihapuskan begitu sahaja sebaliknya memerlukan proses untuk mencari jalan lain untuk diberikan nama berkenaan,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG