Tiga kadar bayaran zakat fitrah beri peluang umat Islam tunaikan ikut kemampuan – Ahmad Zakiyuddin

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah berbeza bagi tahun ini iaitu RM7, RM13 dan RM20.

AHMAD Zakiyuddin semasa sesi sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, penetapan kadar tersebut adalah bagi memberi peluang kepada umat Islam di negeri ini yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan untuk menunaikan kewajiban mengikut kadar yang lebih tinggi.

“Bagi kumpulan majoriti yang memakan beras jenis Super Special Tempatan lima (5) peratus; beras super special tempatan 10 peratus; beras tempatan premium dan beras putih import atau lain-lain yang setaranya kadar zakat adalah sebanyak RM7.

“Manakala, bagi kumpulan yang memakan beras wangi; beras pulut dan setara dengannya bayaran adalah pada kadar RM13.

“(Dan), kemudiannya bayaran zakat fitrah sebanyak RM20 pula bagi kumpulan yang memakan jenis berkualiti tinggi seperti beras basmati dan setara dengannya,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah 2022 Negeri Pulau Pinang anjuran Zakat Pulau Pinang (ZPP) baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha MAINPP, Samsudin Bakar; barisan Ahli-Ahli Majlis MAINPP dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin memberitahu bahawa kaedah pembayaran bagi tahun ini boleh dibuat secara dalam talian atau hadir secara fizikal seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, lebih digalakkan sekiranya pembayaran itu dibuat secara dalam talian sahaja,” katanya.

SESI bergambar kenang-kenangan bersama para amil yang telah ditauliahkan.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin turut berkongsi jumlah kariah (pusat kutipan) dan para amil yang ditauliahkan di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Tahun ini sasaran kutipan zakat fitrah adalah sebanyak RM6.5 juta seiring dengan lantikan baharu para amil seramai 1,709 orang di semua 234 kariah.

“Sasaran kutipan dibuat berdasarkan kejayaan pada tahun mengumpul sebanyak RM6.02 juta iaitu peningkatan sebanyak 9.4 peratus berbanding tahun 2020 hanya RM5.5 juta.

“Saya berharap para amil yang telah ditauliahkan menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan demi membolehkan asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang dapat menikmati kegembiraan untuk menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Sementara itu, Amran memaklumkan sebanyak RM147.2 juta zakat berjaya dikutip secara keseluruhan sepanjang tahun 2021, peningkatan sebanyak 12.5 peratus berbanding pada tahun sebelumnya (2020) atau RM130.8 juta.

“Tahun lalu (2021) jumlah muzakki atau pembayar zakat adalah seramai 74,183 orang berbanding tahun sebelumnya iaitu 70,677 orang.

“Dari segi agihan pula, sebanyak RM141.5 juta telah diagihkan sepanjang tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 11.8 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM126.6 juta,” katanya.

Difahamkan, umat Islam di Pulau Pinang boleh menunaikan zakat fitrah melalui kaedah dalam talian yang telah disediakan melalui portal zakatpenang2u.com, JomPay dan aplikasi TULUS.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: NOOR SITI NABILAH NORAZIS