Tiga kadar zakat fitrah di Pulau Pinang

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi tahun ini iaitu RM7, RM12 dan RM16 sebagaimana diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri serta diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam di Pulau Pinang.

Menurut Yang Dipertuanya Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, tujuan penetapan tiga kadar itu adalah memberi peluang kepada umat Islam di Pulau Pinang yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan, menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mereka mengikut kadar yang lebih tinggi iaitu RM16 seorang,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua Menteri I pada sidang media di Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP) di sini pada 8 April 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali dan Timbalannya, Mohamad Kairi Ghazali turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin memberitahu bahawa kadar zakat fitrah RM7.00 bagi kumpulan majoriti yang memakan beras jenis Super Special Tempatan 5 peratus, Super Special Tempatan 10 peratus, Beras Tempatan Standard, Beras Tempatan Premium, Thai White Rice, Vietnam White Rice, Pakistan White Rice atau lain-lain yang setara dengannya.

“Sementara kadar zakat fitrah RM12 pula, bagi kumpulan yang memakan beras wangi, beras pulut dan beras Calrose/Poney atau yang setara dengannya.

“(Dan) kadar RM16.00 bagi kumpulan yang memakan jenis berkualiti tinggi seperti Beras Bastmathi dan setara dengannya,” jelas Ahmad Zakiyuddin yang merupakan Exco Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan bahawa ZPP menerusi amil zakat fitrah yang dilantik sebelum ini berjaya memungut RM5.54 juta pada tahun 2020, iaitu semasa negara dan negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

Mengambil kira angka pungutan zakat fitrah tersebut, beliau memberitahu bahawa MAINPP dan ZPP menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6 juta pada tahun ini.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin dalam Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah 2021 yang berlangsung pada 1 April lepas mengumumkan seramai 1,719 orang telahpun dilantik sebagai pemungut zakat fitrah meliputi 232 kariah di seluruh negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ZPP