Tiga kaedah baharu bayaran premium tanah babitkan permohonan pindaan syarat nyata KMH

img 20240319 wa0008

 

GEORGE TOWN – Pihak Berkuasa Negeri memutuskan tiga kaedah baharu pengenaan bayaran premium kepada pemilik tanah bagi permohonan pindaan syarat nyata melibatkan ‘Kemajuan Masa Hadapan’ atau KMH.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, keputusan tersebut dibuat susulan terdapat isu berkaitan pengenaan bayaran premium tambahan sebanyak dua kali sebelum ini.

Dalam aspek pentadbiran tanah, KMH ini tidak menggambarkan kegunaan tanah, bersifat umum dan kebiasaannya digunakan oleh Pihak Berkuasa Perancang (PBP) untuk merujuk kepada bahagian atau plot tanah yang akan dimajukan pada masa hadapan dalam pelan pemajuan.

“Memandangkan istilah KMH ini terdapat dalam pelan pemajuan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), maka menjadi amalan pentadbiran tanah bahawa hakmilik dengan syarat nyata KMH ini diuruskan di bawah kategori kegunaan ‘Bangunan’ yang mana cukai tanah dikenakan pada kadar komersial.

“Isu yang berbangkit juga apabila pemilik tanah dengan syarat nyata KMH tidak mempunyai perancangan untuk memajukan tanah tersebut maka berdasarkan Penang Land Rules, premium tambahan iaitu lima peratus daripada nilai pasaran tanah dikenakan,” ujar Mooi Lye pada sidang media yang diadakan di Komtar pagi ini.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Timbalan Pengarah Tanah dan Galian (Perancangan & Pembangunan), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Mohd. Farulizam Che Meh dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan), PTG, Mohd. Lokman Hakim Syed Sultan.

Mengulas lanjut, Mooi Lye menegaskan bahawa pengenaan bayaran premium tambahan sebanyak dua kali adalah tidak wajar.

“Hal ini kerana, dalam sesetengah keadaan pemilik tanah telah dikenakan premium tambahan buat kali pertama semasa bahagian tanah tersebut dikeluarkan hakmilik dengan syarat nyata KMH.

“Selain itu, terdapat juga pengenaan bayaran premium bagi permohonan pindaan syarat nyata yang bersifat spesifik yang mana premium dikenakan berdasarkan lima peratus daripada nilai pasaran tanah.

Maka, melalui keputusan yang diputuskan pada 6 Mac lalu, tiga kaedah kadar bayaran premium dikenakan iaitu Kadar Nominal sebanyak RM10,000; Kadar Minimum-Maksimum iaitu RM2,000 dan RM20,000 serta kadar mengikut Penang Land Rules (lima peratus daripada nilai pasaran tanah).

“Kadar-kadar baharu ini sekali gus mengurangkan beban pemilik tanah setiap kali memohon pindaan syarat nyata membabitkan hakmilik dengan syarat nyata KMH,” jelasnya sambil berharap isu pengurusan tanah di Pulau Pinang dapat diselesaikan sebaiknya.

Pada sidang media sama, turut dijelaskan enam keadaan yang mana bayaran premium pinda syarat perlu dikenakan antaranya melibatkan permohonan tukar syarat nyata sedia ada daripada KMH sahaja; daripada KMH (Kediaman) atau KMH (Bangunan) kepada lain-lain termasuk permohonan baharu tukar syarat nyata yang masih dalam proses atau tidak dapat menentukan syarat nyata dalam permohonan baharu serta permohonan baharu tukar syarat nyata secara khusus atau spesifik.

Difahamkan, istilah KMH tidak ditafsirkan dalam mana-mana punca kuasa perundangan, bermakna, tidak tersenarai dalam Kanun Tanah Negara mahupun Penang Malacca Title Act

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS