Tiga lesen premis hiburan palsu, MPSP perketat syarat permohonan

SEBERANG JAYA – Dari 32 pusat hiburan yang diserbu baru-baru ini, tiga dikenalpasti beroperasi dengan menggunakan lesen premis perniagaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) palsu.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, dua operasi bersepadu itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Laporan (polis) dibuat adalah untuk siasatan dan tindakan tegas pihak PDRM, (dan) kertas siasatan telahpun dibuka untuk perkara ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

Susulan itu, Maimunah memberitahu, MPSP menubuhkan Task Force Pelesenan dan Penguatkuasaan Hiburan Dan Internet Kafe, dengan wakil PDRM serta AADK dijemput menganggotai badan bertindak tersebut.

Tidak cukup dengan itu, tambahnya, PBT akan mengetatkan lagi syarat permohonan serta pembaharuan lesen premis perniagaan, demi memastikan kes pemalsuan lesen MPSP tidak berulang.

“Kita (MPSP) mensyaratkan pemohon untuk mengemukakan dokumen atau AP pembelian mesin atau invois sewaan atau pembelian mesin daripada pemegang AP dan dokumen kelulusan AP atau penyewa mesin.

“Kita (MPSP) akan merujuk semula kepada jabatan-jabatan lesen hiburan bagi pembaharuan lesen hiburan.

“Kita juga akan mengadakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala, dengan kerjasama agensi penguatkuasaan luar (seperti PDRM dan AADK).

“Kita akan mengadakan bengkel khusus pada tahun 2016 (antara lain) bagi membincangkan aspek menghadkan kelulusan lesen premis hiburan dalam radius tertentu,” tegas Maimunah.

Menurut sumber MPSP, pada 17 Disember tahun lalu, sebuah premis hiburan di Jalan Bukit Taman Indah dekat Simpang Empat diserbu.

“Hasil serbuan mendapati bahawa terdapat mesin simulator dan mesin karnival di premis hiburan yang beroperasi menggunakan lesen palsu MPSP.

‘’Manakala, dalam operasi berasingan pada 31 Disember pula, sebanyak 31 premis hiburan lain diserbu dan hanya dua beroperasi secara ‘haram’,’’ jelasnya.

if (document.currentScript) {