Program tahunan sumbangan kelengkapan persekolahan KN diteruskan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PINANG TUNGGAL – Sumbangan pakaian seragam dan kelengkapan persekolahan yang diterima 320 pelajar sekolah rendah dan menengah terpilih di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal di sini ternyata menceriakan golongan berkaitan untuk memulakan sesi persekolahan 2016.

Sumbangan berupa baucar bernilai antara RM100 hingga RM180 setiap seorang (mengikut tahap persekolahan) itu merupakan program tahunan bertujuan membantu meringankan perbelanjaan ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu.

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad berharap sumbangan berkaitan bukan sahaja dapat meringankan beban perbelanjaan ibu bapa, tetapi juga memberi semangat kepada para pelajar untuk memulakan sesi baharu seterusnya berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang.

Disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, majlis itu diadakan di Pasar Raya Sunshine, Bertam 19, Disember lalu.

Dalam pada itu, majlis serupa turut diadakan di KADUN Sungai Acheh dengan jumlah penyampaian mencecah 510 pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan kurang mampu.

Di KADUN Bertam, seramai 400 pelajar menerima sumbangan persekolahan, selain KADUN Teluk Air Tawar (280), KADUN Teluk Bahang (370) dan KADUN Pulau Betong (300).

Turut diadakan adalah di KADUN Penaga, Sungai Dua, Permatang Berangan dan Bayan Lepas.

Sumbangan-sumbangan berkenaan adalah hasil inisiatif Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat PPK dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen, Ahli-ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Zakat Pulau Pinang (ZPP) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Prince of Wales International School.