GEORGE TOWN – Sebanyak tiga notis telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam tempoh tiga hari pertama pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di negeri ini, dengan kesemuanya melibatkan kesalahan membuang puntung rokok secara merata-rata di kawasan Jawi, Seberang Perai Selatan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil selepas PKM mula berkuat kuasa pada 1 Julai lalu di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Sehingga hari ini, pihak berkuasa telah mengeluarkan tiga notis di kawasan Jawi yang mana ketiga-tiga notis tersebut melibatkan kesalahan membuang puntung rokok secara sembarangan.
“Bagi kawasan Pulau Pinang pula, operasi penguatkuasaan masih diteruskan, namun setakat ini belum ada sebarang notis dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sukan Rakyat: Satu Bandar, Untuk Semua anjuran bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) di bawah inisiatif Bandar Mesra Usia di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, pengeluaran notis tidak bermaksud individu yang terbabit telah disabitkan kesalahan kerana semua kes masih perlu melalui proses perundangan sebelum sebarang keputusan dibuat oleh mahkamah.
“Notis yang dikeluarkan bukan bermaksud individu berkenaan telah didapati bersalah.
Semua kes perlu dibawa ke mahkamah dan hanya mahkamah yang akan menentukan sama ada mereka disabitkan kesalahan atau sebaliknya.
“Semua notis akan dikemukakan kepada mahkamah mengikut prosedur yang ditetapkan, manakala tarikh perbicaraan pula bergantung kepada jadual yang ditentukan oleh pihak penguat kuasa dan mahkamah,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berharap pelaksanaan PKM dapat meningkatkan tahap kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
Selaras dengan pelaksanaan PKM, kita berharap orang ramai akan meningkatkan kesedaran sivik dan tidak lagi membuang sampah secara sembarangan.
“Marilah kita bersama-sama memastikan persekitaran sentiasa bersih, selesa dan kondusif untuk didiami.
“Saya juga ingin mengingatkan khususnya rakyat Pulau Pinang supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta memainkan peranan dalam memelihara kebersihan dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: WONG SOOK SHYAN