Tiga pelajar berjaya ke Harvard, Princeton terima sumbangan Kerajaan Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Tiga pelajar cemerlang berasal dari Pulau Pinang yang diterima memasuki program sarjana muda di dua universiti berprestij dunia tahun ini, menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketiga-tiga pelajar tersebut terdiri daripada Ishant Shah dan Herman Leong Xin Yang yang berjaya masuk ke Universiti Harvard serta Teoh Liyen (Universiti Princeton).

Barisan pelajar tersebut masing-masing menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM3,000 yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Ketua Menteri ketika menyampaikan replika cek kepada ketiga-tiga pelajar cemerlang yang berjaya ke Universiti Harvard dan Universiti Princeton.

Kon Yeow dalam ucapan beliau berharap agar sumbangan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada ketiga-tiga pelajar untuk terus mengecapi kejayaan pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri ingin mengalu-alukan kehadiran tiga pelajar cemerlang yang telah mengharumkan nama negeri Pulau Pinang dan negara Malaysia.

“Atas pencapaian cemerlang dalam pendidikan dan sukan oleh pelajar-pelajar yang berasal dari Pulau Pinang, Kerajaan Negeri berbesar hati memberikan sumbangan khas ini sebagai pemangkin semangat untuk mereka terus mengecapi kejayaan pada masa akan datang,” ujarnya dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua serta Presiden Persatuan Squasy Pulau Pinang, Datuk Lim Tiong Chin.

Ishant Shah.

Sementara itu, Ishant memberitahu bahawa beliau akan terus bergiat aktif dalam sukan squasy sepanjang pengajian di Universiti Harvard.

“Kemasukan ke (Universiti) Harvard sangat memberikan saya motivasi untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya yang berminat untuk menyambung program ijazah sarjana muda dalam bidang biologi.

Ishant merupakan pelajar SMK Bukit Jambul, kini melanjutkan Program Matrikulasi Antarabangsa Canadia di Sunway College yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam arena sukan skuasy.

Antara pencapaian tertinggi beliau dalam sukan squasy adalah pingat emas bagi acara berpasukan Sukan Sekolah ASEAN 2018 Ke-10 dan acara Lelaki Bawah 17 Tahun Kejohanan Remaja Terbuka HCL India (2019), pingat perak dalam acara Lelaki Bawah 17 Tahun Kejohanan Terbuka British (2020) serta mewakili negeri Pulau Pinang dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2016.

Teoh Liyen.

Dalam pada itu, Teoh Liyen pula memberitahu bahawa beliau akan meneruskan kegiatannya dalam sukan squasy sepanjang empat tahun menyambung pelajaran di Universiti Princeton.

Beliau yang merupakan pelajar SMJK Chung Ling Butterworth akan menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Science in Engineering bermula Ogos ini.

Teoh Liyen pernah mewakili Pulau Pinang ke temasya SUKMA pada 2018 di Perak dan kini merupakan atlet di bawah skuad SUKMA Pulau Pinang.

Antara pencapaian cemerlang beliau dalam arena squasy adalah pingat emas dalam acara berpasukan Sukan Sekolah ASEAN 2018 Ke-10, pingat perak dalam Ohana Squash Championship 2019 dan pingat emas Kejohanan tertutup Skuasy Pulau Pinang 2021.

Sementara Chung Siew Li@ Tang Siew Li yang mewakili anaknya, Herman menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan yang diberikan.

Herman merupakan pelajar SMJK Chung Ling, Pulau Pinang, kini melanjutkan A-Levels di Kolej Yayasan UEM di bawah tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam dan memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN