Tiga premis makanan dekat Jalan Penang diberi notis tutup

Admin
S.Pathmanathan menunjukkan notis menutup operasi salah satu premis yang didapati kotor dekat Jalan Penang hari ini.

GEORGE TOWN – Tiga premis makanan di Jalan Penang diarahkan tutup selama dua minggu setelah gagal menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Menurut Pegawai Kanan Kesihatan dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Goh Eng Choon, pihaknya bersama-sama JKNPP mengeluarkan sebanyak 10 kompaun.

“Sembilan kompaun adalah bagi kesalahan yang bernilai RM100 dan satu lagi adalah kompaun sebanyak RM250… kompaun RM250 ini adalah disebabkan pemilik kedai didapati membuang sisa terus ke dalam saliran longkang.

“Premis-premis terlibat diarahkan tutup serta merta hari ini sehingga tempoh 14 hari, namun selepas tiga hari, jika mereka sudah membersihkan premis JKNPP datang menilai dan kedai tersebut boleh dibuka semula kerana kuasa untuk menutup kedai adalah pada JKNPP,” ujar beliau dalam satu sidang media ringkas sejurus tamat pemeriksaan.

Hadir sama Pegawai Kanan Kesihatan Persekitaran Makanan JKNPP, S. Pathmanathan.

Operasi bersepadu antara MBPP dan JKNPP menurut Eng Choon akan diteruskan lagi pada setiap minggu dalam memastikan tahap kebersihan makanan di Pulau Pinang ini terjamin.

“Seperti kita tahu Pulau Pinang merupakan tumpuan kepada pelancong kerana terkenal dengan makanan, jadi saya seru pemilik premis makanan agar meningkatkan tahap kebersihan atau diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” tegasnya lagi.

Pelanggan-pelanggan dalam pada itu juga dinasihatkan untuk memilih premis-premis makanan yang bersih agar dapat terhindar dari risiko keracunan makanan.

Difahamkan pada minggu lepas sebanyak lima premis makanan diarahkan tutup berikutan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI