Timb. Menteri cadang Kerajaan Negeri dapatkan pemain industri antarabangsa bina resort, majukan agro pelancongan di kawasan Barat Daya

Admin

BATU MAUNG – Visi 4T (tourism, technology, transportation, transquility) yang dilancarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain khusus untuk Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan akan bergerak seiring dengan visi Penang2030 yang digagaskan Ketua Menteri.

Menurut Abdul Halim, visi tersebut dilancarkannya selaras dengan Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang dalam tempoh 11 tahun akan datanag sebagai sebuah negeri fokus, hijau dan pintar.

“Saya ingin jadikan kawasan Batu Maung sebagai sebuah kawasan ideal untuk didiami kerana di sini bukan sahaja mempunyai pelbagai tarikan pelancongan seperti akuarium dan paya bakau, malah kawasan ini juga terletak berhampiran dengan teknologi dan kawasan perindustrian.

“Justeru, kita ingin pastikan penduduk Batu Maung juga menggunakan teknologi dan menjadi penduduk pintar. Dalam masa sama, pengangkutan awam akan ditambah baik, malah Penang Transport Master Plan juga akan memanfaatkan penduduk di sini.

“Seterusnya dalam menjayakan transquility, saya alu-alukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mahupun pihak swasta untuk menghijaukan kawasan Batu Maung ini,” ujarnya yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 KADUN berkenaan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wen Khai.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Seramai kira-kira 1,000 orang daripada pelbagai latar belakang hadir memeriahkan rumah terbuka tersebut. Pengunjung bukan sahaja disajikan dengan beraneka juadah tempatan seperti ais kacang, sate, mee sotong, kuah durian dan pelbagai lagi, malah dihiburkan dengan persembahan memukau daripada pelajar-pelajar cilik dari SJKC Wen Khai.

Dalam pada itu, Tze Tzin ketika menyampaikan ucapan menyokong visi yang diketengahkan Abdul Halim, malah beliau sendiri melihat potensi agro pelancongan yang terdapat di Daerah Barat Daya (DBD).

Menurut Tze Tzin, DBD mempunyai potensi yang cukup besar dimajukan sebagai kawasan agro pelancongan terutamanya tanaman durian.

“DBD sebenarnya ada potensi besar untuk dimajukan dan ia kurang terserlah ekoran pelancong selalunya hanya tertumpu di kawasan Daerah Timur Laut (DTL) sahaja.

“Tanaman durian di Balik Pulau sememangnya mempunyai satu tarikan yang sangat baik untuk dimajukan, bukan sahaja orang tempatan dari pelusuk Malaysia datang ke sini semata-mata untuk menikmati aroma rasa durian terbaik, tetapi juga terkenal dalam kalangan pelancong luar negara seperti Taiwan, Hong Kong dan China,” ujar beliau.

Namun untuk menjayakan hasrat tersebut, Tze Tzin memberitahu ia memerlukan produk agro pelancongan yang pelbagai bukan sahaja durian tetapi resort bertaraf antarabangsa.

“Saya ingin mencadangkan kepada pihak Kerajaan Negeri untuk mendapatkan pemain-pemain industri antarabangsa yang berminat untuk membina resort bersaiz sederhana di sini (DBD) yang boleh memajukan sektor agro pelancongan ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Pulau Pinang sememangnya sudah terkenal sebagai destinasi pelancongan, tahun lalu, negeri menerima lebih 6 juta pelancong, ini adalah kelebihan untuk membangunkan segmen terbaru iaitu agro pelancongan,” ujarnya.