Tindakan keras peniaga ayam kotor, tak patuh peraturan

Admin

GEORGE TOWN – Mana-mana rumah penyembelihan ayam termasuk peniaga ayam halal yang tidak mematuhi peraturan penyembelihan atau kotor akan dikenakan tindakan keras.

Perkara tersebut dinyatakan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dalam satu sidang media yang diadakan di Komtar di sini baru-baru ini.

Jelasnya, hasil pemantauan di beberapa lokasi pemprosesan ayam mendapati tahap kebersihan tidak dijaga.

“Ada kedai yang tidak membuat penyembelihan dengan sempurna, sehinggakan ayam yang belum mati sepenuhnya dimasukkan terus ke dalam bekas air panas.

“Lebih menjijikkan apabila air panas yang digunakan untuk merendam ayam tidak ditukar sehingga warna merah-kemerahan dan ini amat membimbangkan kerana ia akan menyebabkan sumber bekalan ayam dicemari virus dan status halalnya juga diragui,” tegasnya.

Abdul Malik memberitahu, beliau kecewa apabila peniaga dan penyembelih ayam beragama Islam turut bersikap sambil lewa dan tidak mementingkan proses penyembelihan yang mengikut syarak.

Malah tambahnya, mereka (peniaga) turut mengabaikan aspek kebersihan dan penyembelih juga tidak mempunyai sijil bertauliah serta ada yang menggunakan warga asing sebagai tukang sembelih.

Justeru, Abdul Malik menegaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa berkaitan akan melipatgandakan operasi penguatkuasaan pembekalan ayam halal seluruh negeri.

“Operasi bersepadu dan tindakan keras akan diambil sekiranya didapati peniaga ayam tidak mematuhi undang-undang, kerana ia melibatkan status halal dan haram serta isu kesihatan.

“Selain itu, saya juga akan berjumpa dengan pembekal dan peniaga ayam halal seluruh Pulau Pinang bagi membincangkan aspek penguatkuasaan dan peraturan penyembelihan yang wajar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, sehingga kini terdapat satu kes keracunan makanan melibatkan ayam direkodkan.

“Hasil daripada pemeriksaan, kami (KJNPP) mendapati ayam berkenaan sudah tercemar ketika dibawa masuk dari Kedah ke Pulau Pinang dan sepanjang perjalanan tersebut, ayam-ayam tersebut tidak mempunyai pelindungan sempurna.

“Antara bakteria yang berpunca dari ayam ialah bakteria salmonella yang boleh menyebabkan keracunan melalui pencemaran silang pengendali ayam,” nyata beliau.

Manakala, Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Halal, JHEAIPP), Faizal Ibrahim berkata, terdapat 360 pemegang sijil tauliah penyembelihan ayam halal di Pulau Pinang yang kebanyakannya ditempatkan di rumah-rumah penyembelihan.

“Sebaliknya, peniaga-peniaga ayam di pasar-pasar basah ini tidak mempunyai sijil tauliah daripada jabatan agama. Justru, Faizal menyeru supaya peniaga atau pengendali ayam halal yang ingin mendapatkan sijil tauliah berkenaan supaya menghubungi JHEAIPP melalui talian 04 – 250 5450.