Jadikan al-Quran medium kukuh ukhuwah, martabat ummah

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berhasrat untuk melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran sekaligus menjadikan tuntutan itu sebagai teras kehidupan yang mampu membentengi diri daripada gejala sosisal yang kian membarah kini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, hasrat untuk menjadikan amalan membaca dan memahami al-Quran bukan semata-mata terhad dalam bulan-bulan tertentu.

Sebaliknya, beliau berhasrat untuk membudayakan amalan membaca dan memahami al- Quran dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, baru-baru ini, beliau melancarkan Program Bersama al-Quran di sini.

“Melalui program ini, kita akan menggalakkan khalayak umum khususnya penjawat awam di Komtar untuk memulakan amalan membaca dan memahami erti ayat-ayat suci al-Quran sama ada selama 10 minit atau 10 ayat atau satu muka al-Quran sehari.

“Hal ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam melahirkan satu keluarga, satu hafiz atau hafizah dan menjadikan al-Quran itu sebagai medium pengukuhan ukhuwah, memartabatkan ummah,” katanya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Kata Abdul Malik, banyak fadhilat jika umat Islam dapat mengamalkan dan mengekalkan selalu bacaan al-Quran seperti kata-kata dari Ibnu Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa membaca satu huruf dari Kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu sama dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak menyatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Sehubungan itu, jelas beliau, umat Islam di negeri ini diajak bersungguh – sungguh melahirkan golongan terhebat dan unggul yang disebut sebagai generasi celik al-Quran pada masa akan datang.

“Generasi hari ini merupakan bakal pewaris kecemerlangan ummah, pencetus dan pencorak yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Atas dasar ini, perlunya  kewujudan genarasi celik al- Quran agar keutuhan dan kesinambungan ukhuwah Islamiah dapat dipereratkan,” jelas beliau.