Iftar & sumbangan Ramadan bersama qariah Sg. Nibong

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Datuk Mohd. Rashid Hasnon baru-baru ini mengadakan Majlis Iftar bersama hampir 100 penduduk sekitar kawasan Sungai Nibong Kechil dan Taman Sri Nibong di sini.

Majlis yang berlangsung dalam kesederhanaan tersebut bermula dengan agenda gotong-royong menyediakan hidangan berbuka puasa bagi menjalin semangat muhibbah antara penduduk setempat.

Malah, majlis tersebut juga cukup bermakna buat hampir 45 keluarga dari qariah itu apabila Mohd. Rashid turut menyampaikan bantuan sumbangan keperluan harian seperti beras dan barang masakan kepada mereka bagi meringankan beban ditanggung sempena sambutan bulan yang mulia ini.

Majlis Iftar anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Nibong Besar di Musalla Taman Sri Nibong turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Prof. Dr. Mahyuddin Ramli.