Tindakan mahkamah jika buang sampah secara haram atas tanah milik Kerajaan Negeri – MBPP

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan notis kepada pemilik kenderaan yang dikenal pasti melakukan kesalahan membuang sampah di atas tanah milik Kerajaan Negeri dekat Mukim 13 Bandar Gelugor pada 3 April lalu.

Longgokan sampah sisa pukal yang dibuang secara haram di tepi Pangsapuri Desa Permai Indah sejak seminggu lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Mubarak Junus berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai pembuangan sampah dan pembakaran terbuka di tepi Pangsapuri Desa Permai Indah pada 2 April lalu.

“Pihak Majlis telah membuat siasatan di tapak dan mendapati sebuah kenderaan telah membuang sampah jenis sisa domestik dan sisa pukal di atas Lot 10234, milik Kerajaan Negeri.

“Justeru, selain meletakkan beberapa anggota bagi memantau aktiviti pembuangan sampah haram di sini, kita juga mengeluarkan notis di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada pemilik kenderaan terbabit untuk membendung kacau ganggu,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke tapak pembuangan sampah haram berkenaan, di sini semalam.

Sisa domestik turut dibuang di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mubarak menjelaskan bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa kes itu ke mahkamah sekiranya pihak berkaitan gagal mengalihkan timbunan sisa sampah dan sisa binaan serta memindahkan longgokan sampah haram tersebut ke tapak pelupusan dalam tempoh masa ditetapkan.

“Di bawah Seksyen 80, Akta Kerajaan Tempatan 1976, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menuntut kos keseluruhan operasi pembersihan dan pelupusan sampah-sampah berkenaan daripada pemilik kenderaan di mahkamah.

“Pemilik kenderaan juga boleh didenda tidak lebih RM2,000 dan penjara tidak kurang setahun jika didapati bersalah,” ujarnya lagi.

Selain itu, menurutnya lagi, satu laporan polis juga telah dibuat supaya tindakan dapat diambil terhadap pesalah mengikut undang-undang sedia ada Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 yang melarang membuang sampah dari kenderaan.

“Oleh itu, kita (MBPP) menyeru kepada orang ramai supaya membuang sampah di tempat sepatutnya iaitu di tapak pelupusan sampah yang dibenarkan oleh pihak Majlis.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan permit daripada MBPP untuk membuang sampah di Pulau Burung dengan bayaran RM160 dan RM240 sebulan bagi lori empat tayar,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS