Tindakan tegas terhadap penternakan tanpa lesen – Datuk Bandar MBSP

whatsapp image 2024 02 22 at 11.28.22 am

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati menjalankan penternakan tanpa lesen.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata semua premis yang menjalankan aktiviti penternakan dalam kawasan Seberang Perai perlu mempunyai lesen yang sah daripada MBSP berdasarkan Undang-Undang Kecil Bayaran Lesen Majis Perbandaran Seberang Perai 1980.

“MBSP telah menjalankan pendakwaan terhadap penternak yang menjalankan perternakan lembu tanpa lesen di Seberang Perai Utara.

“Pada 8 Januari 2024, Orang Kena Saman (OKS) telah gagal hadir ke mahkamah dan waran tangkap telah dikeluarkan kepadanya dan pada 22 Januari 2024, waran tangkap telah berjaya dilaksanakan oleh Bahagian Keselamatan Komuniti.

“OKS dibawa terus ke mahkamah dan dia mengaku salah, justeru Mahkamah Majistret Majlis Bandaraya Seberang Perai telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500,” katanya ketikan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-596 Bil.2/2024 dekat Menara Bandaraya MBSP dekat sini pagi tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abd Hamid serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Azhar berkata, MBSP juga telah menjalankan pendakwaan terhadap penternak yang menjalankan perternakan ikan keli tanpa lesen di dua kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT).

“Pada 8 Februari 2024, enam OKS telah hadir ke mahkamah dan mengaku salah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dikenakan dan telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 dan RM1,000.

“MBSP dengan ini mengingatkan kepada seluruh warga Seberang Perai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak sewenangwenangnya menjalankan pernternakan tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS