Tingkat strategi bantu kurangkan beban sistem kesihatan awam Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal meningkatkan beberapa strategi bagi mengurangkan bebanan sistem penjagaan kesihatan awam negeri ini ekoran lonjakan kes COVID-19 yang berlaku sejak beberapa minggu lalu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata bahawa antara langkah yang diambil adalah dengan menambah kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di negeri ini.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Sekarang ini, kita ada PKRC utama di Pulau Pinang iaitu Pusat Kecemerlangan MARA (MEC) dekat Jawi dengan kapasiti 1,038 buah katil tetapi penggunaannya hanya 500 katil sahaja setakat ini.

“Oleh itu, kita akan menggalakkan lebih ramai pesakit COVID-19 yang berada dalam kategori 1 dan 2 di negeri ini untuk mendapatkan rawatan di PKRC.

“Ini kerana, kita dapati ada keenggannan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang untuk menjalani rawatan di PKRC,” katanya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jafaar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Ma’arof Sudin.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr. Chong Chee Kheong; Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Asmayani Khalib dan Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad turut hadir.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng antara yang hadir pada sidang media berkaitan.

 

Khairy berkata, sebuah lagi PKRC yang kini dalam ‘standby mode’ akan dibuka dan digunakan pada kadar segera iaitu dekat Pusat Latihan Zakat (PULAZA) yang mampu memuatkan kira-kira 190 buah katil.

“Selain itu, KKM juga akan menyokong pembukaan PKRC swasta yang mungkin boleh dibuat di hotel-hotel dikenal pasti.

“Sekiranya ada syarikat-syarikat atau kilang-kilang yang ingin membuka PKRC swasta, KKM akan memudah cara untuk mereka membiayai kos pembukaan PKRC ini bagi pekerja-kerja mereka yang dijangkiti,” ujarnya.

Beliau memberitahu, KKM juga telah mendapat persetujuan daripada hospital-hospital swasta di negeri ini untuk menambah kapasiti pesakit termasuk COVID-19 kepada 300 buah katil dan mungkin akan ditingkatkan kepada 1,000 katil sekiranya perlu.

“Saya juga merayu kepada klinik-knilik swasta untuk tampil membantu menjalankan pemantauan terhadap mereka yang menjalani kuarantin di rumah bawah CAC (Pusat Panggilan Pusat Penilaian COVID-19).

“Oleh demikian, pemantauan kita kepada mereka yang menjalani kuarantin di rumah dapat ditingkatkan bagi mengelakkan berlakunya kes kematian di luar hospital (BID) atau kemerosotan kesihatan yang mendadak,” ulasnya.

Kahiry Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam sebagai penyelaras antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutan dala menangangi COVID-19.

Khairy menyatakan bahawa KKM juga telah meluluskan sebanyak 10 katil unit rawatan rapi (ICU) Modular di Hospital Kepala Batas selain mempertimbangkan pembukaan Hospital Medan dekat perkarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan tambahan 100 buah katil.

Tambah beliau, KKM juga akan menghantar seramai 200 kakitangan barisan hadapan tambahan yang terdiri daripada pegawai dan pembantu perubatan serta jururawat ke negeri ini yang kini sedang berdepan masalah kekurangan tenaga kerja.

“Kita akan mobilisasi jururawat dari negeri-negeri lain dan menyegerakan penghantaran kakitangan-kakitangan baru ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy menyatakan bahawa KKM dengan kerjasama Kerajaan Negeri turut akan membuka beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘walk-in’ untuk pekerja-pekerja asing di negeri ini.

“Kita sudah buka sebanyak 10 PPV untuk ‘walk-in’ sejak 8 September 2021 dan dalam tempoh masa tiga hari ini, seramai 5,507 orang telah hadir menerima suntikan vaksin.

“Jadi, setelah penduduk Pulau Pinang sudah ramai menerima vaksin, kita akan buka pula beberapa PPV yang dikenal pasti untuk ‘walk-in’ kepada mereka yang bukan warganegara Malaysia.

Mesyuarat dan taklimat bersama CITF Negeri Pulau Pinang.

“Kita mahu menggalakkan semua pekerja bukan warganegara yang belum menerima vaksin melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk menerima suntikan mereka,” serunya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutan juga akan memulakan program vaksinasi untuk golongan remaja di negeri ini dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kita bakal laksanakan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang mana kebanyakannya dibuat di sekolah-sekolah dan murid-murid akan dipanggil mengikut keutamaan yang telah dikenal pasti.

“Di Pulau Pinang, terdapat seramai 130,000 remaja yang layak akan menerima suntikan vaksin manakala seluruh negara pula adalah seramai 3 juta orang,” jelasnya.

Pada sidang media sama, Khairy turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong sebagai penyelaras antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu-isu berkaitan COVID-19.

Ketua Menteri (kiri) menyerahkan cenderama mata kepada khairy Jamaludddin Abu Bakar selepas kunjungan hormat menteri itu pagi tadi.

Sementara itu, Kon Yeow turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada KKM kerana meluluskan beberapa permohonan dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang dibincangkan dalam beberapa mesyuarat yang diadakan sebelum ini.

“Ini merupakan kali ketiga Yang Berhormat Menteri dan delegasi melawat negeri Pulau Pinang bagi memantau keadaan COVID-19 di negeri ini pada tahun ini.

“Justeru, diharapkan dengan lawatan kali ini akan dapat menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh negeri Pulau Pinang akibat peningkatan kes jangkitan COVID-19 secepat mungkin,” ujarnya.

Terdahulu, Khairy turut melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri kira-kira 30 minit di pejabat beliau sebelum mengadakan taklimat khas oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS