Tingkatkan kadar peratusan hidup cergas dan aktif sejajar negara maju, gesa KM

Admin

 

BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menggesa rakyat Pulau Pinang supaya menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif dalam menigkatkan kadar peratusan rakyat yang bersukan di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Hari Sukan Negara 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban di sini pagi tadi.

“Kadar peratusan tersebut harus ditingkatkan agar Malaysia setanding dengan negara maju dalam peratusan rakyat bersukan.

“Peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus sahaja berbanding 50 hingga 60 peratus di negara-negara maju,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Zahari Abdul Mubin dan kepimpinan-kepimpinan negeri serta persatuan-persatuan sukan.

Tambah Kon Yeow, Hari Sukan Negara bertujuan merealisasikan hasrat dan inspirasi Kementerian Belia dan Sukan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terkenal dengan sukan.

“Melalui Hari Sukan Negara juga, perpaduan negara dapat dieratkan melalui aktiviti yang telah disusun dan direncanakan di samping meningkatkan pengetahuan serta kepentingan bersukan dalam kalangan masyarakat kita,” jelasnya.

Dianggarkan kira-kira 60,000 peserta terlibat menjayakan 120 program di seluruh Pulau Pinang hari ini.

Antara acara menarik dianjurkan di Batu Uban termasuk Fun Run, Fun Ride, Paint Ball, Wall Climbing dan pelbagai sukan-sukan lain.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : DARWINA MOHD. DAUD