Tingkatkan kempen pendaftaran vaksinasi COVID-19

GEORGE TOWN – Semua persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru supaya mempergiat kempen pendaftaran penerimaan vaksinasi COVID-19 dalam program-program atau aktiviti yang melibatkan komuniti setempat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada Majlis Meraikan Penerima Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang dan Penyampaian Bantuan Zakat anjuran Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Sejahtera (PPMS) dekat sini pada 28 Mac 2021.

Menurut beliau, setiap individu perlu meningkatkan usaha dalam mengawal perebakan COVID-19 di negeri ini.

BARISAN penerima Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang bergambar bersama-sama Ketua Menteri pada majlis yang diadakan di George Town.

 

“Kita masih belum berjaya mengawal COVID-19, dan ini bukanlah perkembangan yang kita inginkan.

Meskipun vaksin membawa harapan (mengawal perebakan), namun kadar pendaftaran (sebagai penerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) masih belum mencapai peratusan yang diinginkan.

“Pada peringkat kebangsaan, purata (pendaftaran) adalah kira-kira 45 peratus dan di Pulau Pinang pula tak sampai 40 peratus pun iaitu sekitar 35 peratus sahaja daripada kumpulan sasaran.

“(Walhal), vaksin adalah harapan untuk kita memulihkan kesihatan awam dan ekonomi kita,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama di sini.

Turut berucap ialah Presiden PPMS, Bhurhanuddeen Mohd. Abdullah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Timbalan Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Shaik Fareedudin Anvardeen serta 25 presiden daripada persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan hadir sama pada majlis berkaitan.

Terdahulu, Kon Yeow meluangkan masa menyampaikan plak penghargaan kepada penerima Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang baru-baru ini, yang terdiri dalam kalangan ahli-ahli persatuan dan NGO aktif di negeri ini.

“Semoga dengan pengurniaan ini, ia dapat menyuntik semangat serta komitmen yang tinggi untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri serta masyarakat secara keseluruhannya.

“(Dan) diharapkan anda (penerima Darjah Kebesaran) akan sentiasa menjaga kemuliaan gelaran yang diberikan dalam mempertahankan nilai murni, menjaga batas dan adab walaupun semasa berdepan cabaran yang getir.

“(Lebih-lebih lagi) aspek pembangunan masyarakat sejahtera yang mana sangat penting dalam sebuah negara atau negeri yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa serta agama.

“Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, penglibatan semua golongan masyarakat adalah sangat digalakkan, dan saya berharap lebih ramai lagi pihak tampil dengan program-program kemasyarakatan seperti ini bagi bersama-sama mengharungi cabaran dalam tempoh pasca COVID-19,” serunya sambil menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada penerima Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang.

SALAH seorang penerima zakat.

Dalam majlis sama, seramai 20 asnaf terpilih menerima bantuan zakat sebanyak RM500 setiap seorang hasil inisiatif PPMS dalam membantu golongan kurang berkemampuan terutama ketika kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR