Tinjauan Hari Pertama PKPB: Perniagaan dibuka seperti biasa di Little India

PERVINDER Singh menunjukkan antara koleksi busana batik yang terdapat di kedainya di Little India sempena musim perayaan Deepavali, semasa tinjauan pada awal pagi tadi di sini.

SEAWAL jam 9.30 pagi, rata-rata lot komersial sekitar ‘segi tiga emas’ Little India di tengah-tengah George Town Bandar Warisan Dunia UNESCO mula dibuka seperti biasa.

Tinjauan Buletin Mutiara mendapati suasana seolah-olah tiada apa-apa kelainan meskipun hari ini merupakan hari pertama perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri ini selama kira-kira sebulan sehingga 6 Disember 2020.

Bermula di galeri batik tradisional India, RSS Batek House dekat Lebuh King di sini, pemilik lot komersial tersebut, Pervinder Singh, 40, sedang sibuk melakukan upacara ritual memohon rahmat untuk perniagaan serta keluarganya.

Beliau memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai banyak pilihan melainkan membuka kedai seperti biasa tiap-tiap hari kerana komitmen kewangan yang tinggi.

“Ada macam-macam komitmen kewangan mesti dilangsaikan walaupun Kerajaan Persekutuan ada mengumumkan moratorium, sementara Kerajaan Negeri sebelum ini adalah memberi insentif bantuan kewangan sebanyak RM500 secara ‘one-off’.

“(Contohnya), bayar sewa kedai sahaja RM4,000 sebulan, itu belum masuk menggajikan dua orang pekerja saya lagi.

“Jadi, saya tidak ada banyak pilihan, kalau tidak buka langsung RSS Batek House, mungkin saya langsung tidak mendapatkan apa-apa hasil jualan untuk memenuhi pelbagai komitmen kewangan tiap-tiap bulan,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara di sini pada 9 November 2020.

Menurutnya, perniagaannya terjejas bukan bermula pada hari ini, malah, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksananakan pada 18 Mac 2020 lepas.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa stok kain batek telah ditempah sejak sebelum PKP diumumkan lagi.

“Kita tempah kain sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan lebih awal untuk persiapan musim perayaan Deepavali ini.

“Jadi, saya tengah memikirkan di mana saya boleh menyimpan stok kerana jualan sangat merosot belakangan ini,” jelasnya lagi.

Di Lebuh Penang, kelihatan sebuah lot komersial yang menjual pakaian hanya membuka separuh daun pintu kedai.

Menyedari kehadiran wartawan, cepat-cepat beliau masuk ke dalam kedai.

Selepas dipujuk, akhirnya beliau bersetuju untuk memberi maklum balas dengan syarat identitinya tidak diketahui khalayak.

“Apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan PKPB, pergerakan orang ramai tentu lebih terbatas.

“Walaupun aktiviti perniagaan boleh dibuka seperti biasa, bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam (disebabkan pelaksanaan PKPB), saya nak tengok dulu bagaimana keadaan pengunjung pada awal pagi ini.

“Ini kerana, pengunjung dari tanah besar (Seberang Perai) sudah tentu terbatas pergerakan mereka untuk masuk ke Pulau dan berkunjung ke Little India ini, apabila sekatan trafik mula dilaksanakan sejak awal pagi ini di semua tempat.

“Hanya keajaiban Tuhan boleh memberi keuntungan kepada peniaga-peniaga di sini, kerana keadaan perniagaan yang tidak menentu,” katanya.

DAVIS Mixture

Bagi Devis Mixture yang menjaja makanan rangup sempena musim perayaaan Deepavali di tepi jalan lorong kecil di sini, pelaksanaan semula PKPB seakan-anak sudah dijangka.

“Hari-hari anak saya seorang jururawat menceritakan perkembangan pandemik COVID-19 ini, jadi kami sekeluarga menjangkakan ia tidak boleh hilang dalam tempoh kurang setahun ini juga.

“Jadi, pada musim perayaan ini, saya masih menjual pelbagai makanan seperti ladu, candy, palkova, athirasam, jelabi, boonthi, alva, neei urundai, rava urundai dan sebagainya; seperti tahun lepas (2019).

“Cuma, jumlah makanan yang dijual pada musim Deepavali tahun ini, tidaklah sebanyak tahun-tahun sebelum ini, ekoran pandemik COVID-19,” maklumnya.

Menurutnya lagi, sempena musim perayaan Deepavali kali ini, beliau membuka gerai jaja selama seminggu sahaja, berbanding sebelum ini selama dua minggu hingga hampir sebulan.

“Saya buka gerai jaja seawal 9 pagi, dan tutup 10 malam, tidak lagi seperti musim perayaan pada tahun-tahun sebelum ini, sehingga jam 12 (tengah malam) dan 1 pagi kerana ada pengunjung,” ulasnya.

END