Tinjauan : Pelbagai syor demi cegah aktiviti lumba haram

Admin
GAMBAR beberapa anggota polis sedang melaksanakan operasi SJR di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu semasa PKP, kira-kira dua tahun lepas di sini.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, rata-rata responden turut mengesyorkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperbanyak operasi seumpama Sekatan Jalan Raya (SJR) demi menangani aktiviti lumba haram sekali gus mencegah kemalangan jiwa.

MOHD. Rizal Akhir

Demikian respons USTAZ MOHD. RIZAL AKHIR, 47, dalam tinjauan umum yang dibuat wartawan Buletin Mutiara, Zainulfaqar Yaacob hari ini.

“Semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), bukan sahaja kita dapat lihat kadar kemalangan jalan raya di negeri ini merosot, bahkan aktiviti lumba haram juga hampir tidak ada disebabkan PDRM memperluas operasi SJR.

“Di samping itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan secara proaktif dengan memantau aktiviti anak-anak mereka di luar rumah.

“Bukan nak menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi kalau payah nak akses motosikal dan banyak SJR, semakin payah aktiviti lumba haram,” jelasnya lagi.

Awal pagi Ahad lepas, tiga penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dekat George Town; kemudian dua lagi individu terbabit dalam insiden sama disahkan meninggal dunia.

Insiden tersebut menggamit perhatian serta reaksi pelbagai pihak, termasuk lah segelintir natizen memuji solidariti sekumpulan anak muda mengiringi jenazah mereka yang berkenaan ke pusara, yang dimuat naik di media sosial.

Susulan insiden kejadian tersebut juga, isu lumba haram di negeri ini kembali hangat diperkatakan oleh warganet. Apa puncanya? Apa solusinya?

AL JAFREE Md. Yusop

Bagi penulis skrip dan pengarah filem AL JAFREE MD. YUSOP, 56, di samping langkah penguatkuasaan, pihak berwajib juga boleh memanfaatkan ‘kuasa’ di sebalik perfileman.

“Empat mati dalam kemalangan jalan raya, perkara dah berlaku, saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk memutar masa ke belakang.

“Tetapi, filem The Great Escape (1963) lakonan Steve McQueen sedang menunggang motosikal sebagai ‘King of Cool’, bahkan filem itu kita menjadikan motosikal jenis Triumph sebagai kegilaan muda-mudi pada waktu itu.

“Begitu juga kaca mata hitam jenis Alain Delon pernah suatu masa laris dalam pasaran apabila (pelakon) Chow Yun Fat memakainya dalam filem A Better Tomorrow (1986).

“Bagi saya kita jangan menolak realiti bahawa motosikal adalah fenomena dalam kalangan generasi muda-mudi, pada masa yang sama kita juga perlu menyedari betapa kuatnya kuasa satu-satu filem untuk menjana aspirasi kepada para penontonnya ke suatu arah yang baharu, sama ada baik atau sebagainya.

“Filem memang ada kekuatannya tersendiri dalam membentuk aspirasi hatta boleh membentuk budaya baharu dalam masyarakat, jika pihak berwajib juga sedar kepentingannya dalam mendepani isu berbangkit (lumba haram umpamanya) yang terjadi baru-baru ini,” jelasnya.

MOHD. Zamirul Mohd Dzaki

Tanpa menafikan peri penting langkah penguatkuasaan jalan raya, seorang ahli akademik universiti swasta, MOHD. ZAMIRUL MOHD. DZAKI, 37, mengesyorkan Kerajaan Persekutuan memperhebat program sukarelawan dengan melibatkan golongan muda-mudi.

“Sebagai telah saya komen di Facebook, perbuatan lumba haram ini memang salah, tetapi kita kena lihat juga dari sudut lain seperti mereka ini rata-rata anak muda yang ada masa lapang begitu banyak serta tenaga kuat, kemudian mungkin tinggal di kawasan perumahan yang begitu terhad untuk aktiviti luar rumah.

“Tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, jadi, aktiviti paling mudah dibuat untuk mencabar diri antaranya adalah menunggang motosikal secara berkumpulan sehingga membahayakan penunggang jalan raya yang lain.

“Tabiat manusia bukan tidak boleh didorong untuk berubah, orang yang malas bangun bagi pun akan masuk pejabat pada waktu pejabat disebabkan ada komitmen kerja, kemudian diikat pula dengan sistem gaji serta komitmen lain seperti membayar balik pinjaman mereka dengan bank.

“Sehubungan itu, pihak berwajib perlu memperkasakan lagi program-program sukarelawan melalui Persatuan Bomba dan Penyelamat (PBS), JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan mengadakan program kerja sosial berkaitan dengan dengan tujuan ‘mengikat’ tenaga golongan muda-mudi ini kepada sesuatu yang lebih memanfaat kepada masyarakat secara umumnya,” jelasnya tanpa menafikan peri penting langkah penguatkuasaan termasuk operasi SJR diperluaskan di negeri Pulau Pinang.

END