Tinjauan: Percepatkan bantuan sara hidup rakyat, bukan hujung Jun

Admin
TINJAUAN di salah satu lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) sempena hari pertama pelaksanaan PKP penuh pada pagi tadi. | Foto: Mohamad Amir Irsyad Omar
PERDANA Menteri baru mengumumkan peruntukan RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), malam tadi.
 
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yaasin, kadar bantuan tambahan BPR sebanyak RM500 akan diberikan kepada kelompok isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 pada hujung bulan Jun ini, sementara sejumlah RM300 kepada kelompok pendapatan isi rumah antara RM2,501 hingga RM500, manakala RM100 untuk individu bujang.
 
Walhal, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berasaskan senario semasa pada bulan November 2020 mentakrifkan semula golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) adalah mereka yang berpendapatan di bawah RM4,850; sementara M40 iaitu kelompok isi rumah berpendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959, manakala T20 iaitu mereka yang berpendapatan melebihi RM10,960.
 
Awal pagi tadi, Buletin Mutiara cuba mendapatkan maklum balas awam berhubung pakej-pakej bantuan kewangan yang baru diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Putrajaya.
 
ANNUAR Faisal Yahaya

Menurut peniaga, ANUAR FAISAL YAHAYA, 43, bantuan sara diri tersebut sepatutnya dipercepatkan memandangkan pelaksanaan ‘full lockdown’ selama 14 hari adalah bermula pada hari ini, 1 Jun 2021.

 
“SOP (prosedur operasi standard) berkaitan pun umum agak lewat sehinggakan ramai pihak terutama yang tiada pendapatan tetap atau peniaga tidak sempat membuat persiapan awal.
 
“BPR pun masuk pada hujung bulan (Jun), sepatutnya sebelum ‘full lockdown’ dilaksanakan lagi, bantuan kewangan berwajib sepatutnya telah diterima untuk menjamin mereka kekal duduk di rumah demi memutuskan rantaian perebakan COVID-19,” jelasnya semasa dihubungi wartawan, ZAINULFAQAR YAACOB pada awal pagi tadi.
 
Selain itu, beliau turut mempertikaikan langkah Putrajaya menyerahkan kuasa pengecualian PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
 
“Kalau nak buat ‘full lockdown’ secara menyeluruh termasuk dalam sektor ekonomi, kenapa mesti ada perubahan di saat akhir dengan memberi kuasa pengecualian PKP lagi kepada MITI.
 
“Bagi saya, keputusan ‘flip-flop’ ini menunjukkan bahawa Menteri MITI seolah-olah mempunyai kuasa yang lebih istimewa berbanding MKN,” respons beliau lagi.
 
Semalam, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa rakyat yang terjejas akan diberi pilihan sama ada mendapatkan moratorium secara automatik daripada bank selama tiga bulan atau mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.
 
Justeru, Anuar Faisal berharap agar komitmen Perdana Menteri itu bukan lah suatu bentuk penstrukturan semula pakej bayaran balik pinjaman (refinancing) dengan kenaan caj faedah tambahan, yang lebih memenangkan pihak bank berbanding rakyat teramai.
 
“Semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dahulu, moratorium ditawarkan, tapi rakyat terpaksa tanggung pelbagai caj tambahan apabila ‘refinancing’ dibuat oleh pihak bank…jangan ulang perkara ini.
 
“Saya harap moratorium automatik sebagaimana didesak oleh pelbagai pihak, dilaksanakan secara mudah, kerana mungkin tempoh ‘full lockdown’ ini akan dilanjutkan lagi bergantung pada pergerakan rekod kes harian COVID-19 nanti,” jelasnya lagi sambil mengharapkan tempoh moratorium dilanjutkan selama enam hingga 12 bulan.
 
ALIFF Rahim

Seorang lagi responden, ALIFF RAHIM, 36, yang merupakan pekerja am turut menyifatkan pengumuman Perdana Menteri semalam agak lewat serta pakej bantuan kewangan wajar dipercepatkan lagi, bukan bermula pada hujung bulan Jun.

 
“Dia kata inisiatif ini akan membantu rakyat yang hilang sumber pendapatan serta perusahaan mikro dan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) kira-kira lebih daripada lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.
 
“Sedangkan, pemohon geran bantuan semasa PKP lepas sampai hari ini masih ramai belum mendapat bantuan selayaknya.
 
“Hari ini, dia minta kita tunggu industri perbankan membuat pengumuman terperinci berhubung bentuk moratorium automatik yang boleh rakyat nikmati dengan menghubungi pihak bank berkaitan.
 
“Saya rasa sepatutnya mereka belajar daripada kelemahan pelaksanaan moratorium bank dengan pelbagai syarat sulit semasa PKP lepas lagi, tetapi pengumuman pada malam tadi menunjukkan mereka belum belajar untuk menyelami keluh-kesah derita rakyat di bawah ini,” jelasnya sambil menganggap Kerajaan Persekutuan hari ini adalah tidak kompeten.
 
Di samping itu, beliau turut mempersoalkan Putrajaya kerana tidak melaksanakan program ‘bakul bantuan makanan’ sempena ‘full lockdown’ pada kali ini.
 
“Sudah lah bantuan dalam bentuk kewangan agak lewat, perlu tunggu hujung bulan Jun baru dapat tahu terima atau tidak, sekarang tiada lagi program ‘bakul bantuan makanan’ daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dilaksanakan sempena ‘full lockdown’.
 
“Kalau tanya saya, bantuan kewangan patut diperluaskan kepada M40 juga sebab ramai kalangan mereka yang berada dalam sektor perniagaan, mempunyai komitmen kewangan tinggi apabila sektor perniagaan diarahkan tutup sepanjang tempoh ‘full lockdown’ ini, ” jelasnya lagi.
TINJAUAN di salah satu lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) sempena hari pertama pelaksanaan PKP penuh pada pagi tadi.
Responden ketiga, MUHAMAD KAMAL, 40-an yang merupakan seorang peniaga menyifatkan bahawa pengumuman Perdana Menteri semalam melambangkan Kerajaan Persekutuan hari ini lebih menjaga kepentingan ‘taikun’ dan syarikat-syarikat besar berbanding rakyat semasa pandemik COVID-19.
 
“Sebelum ini, Menteri Kewangan berdalih konon-konon bank rugi RM1.06 bilion setiap bulan disebabkan beri moratorium.
 
“Kalau benar rugi, mengapa Kerajaan Persekutuan sendiri lepas tangan dengan tak memberikan bantuan kewangan yang sepatutnya kepada semua rakyat baik B40 mahupun M40 sebelum ‘full lockdown’ dilaksanakan bermula hari ini…kenapa dilaksanakan moratorium automatik pula.
 
“Ini hanya dalih, di mana Menteri lebih menjaga kebajikan bank berbanding kebajikan rakyat yang terjejas teruk,” katanya sambil menganggap pengumuman Perdana Menteri semalam umpama “tunggu rakyat mati dahulu, baru bantu proses pengebumian.”