Tinjauan PKP 2.0: Pengusaha kedai cermin mata kongsi pandangan pengoperasian semula

RATA-rata pengusaha premis cermin mata dan optometris berpandangan bahawa bidang yang diusahakan mereka sebenarnya adalah termasuk dalam bidang keperluan asas sama seperti peruncitan.

 

Mereka senada menyifatkan kepentingan kaca mata sama seperti fungsi mata dan tanpanya, banyak aktiviti seharian dan bidang pekerjaan tidak dapat dilaksanakan sebaiknya.

 

Bagi pemilik de Vince Optometrist, Vincent Fong Seok Kong, beliau menyambut baik kebenaran kedai cermin mata beroperasi semula, namun, sejak prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipertingkatkan, beliau lebih memberi keutamaan kepada pengunjung yang membuat temu janji awal.

 

“Setelah kebenaran beroperasi, SOP semestinya perkara yang perlu dititikberatkan seperti di  de Vince Optometrist  kami mengutamakan temu janji.

 

“Boleh lihat tadi, ada pelanggan datang sekiranya tidak melibatkan kerosakan kritikal dia boleh tunggu di luar, kami baiki dan beri semula kepada beliau dengan meminimumkan kontak,” ujarnya ketika ditemui dalam siri tinjauan Buletin Mutiara pagi ini.

 

Bercerita tentang pengoperasian kedai cermin mata, beliau yang juga anggota Association of Malaysian Optometrist (AMO) sebelum itu juga pernah menulis surat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membenarkan kedai cermin mata beroperasi.

Sementara itu, pemilik Uni EyeCare, Yen Mei Ling ketika ditemui mengakui bahawa pengoperasian kedai cermin mata adalah penting.

 

“Sebenarnya kami juga adalah sama penting dengan essential service, tidak ada cermin mata memang akan menjejaskan kehidupan seharian.

 

“Cuma apa yang pelik saya difahamkan kami dilarang untuk sediakan khidmat konsultasi, adalah sedikit mustahil sekiranya tanpa konsultasi, terutama pelanggan yang ingin dapatkan kaca mata yang sesuai dengan keupayaan melihat,” ujar Mei Ling yang ditemui di premisnya dekat Yellow House, Sungai Dua.

Bagi Pengurus di N&G Optics Sdn. Bhd., Evelyn Goh, premis cermin mata memang perlu dibuka ekoran ia sama penting dengan sektor kesihatan yang lain.

 

“Seseorang individu itu memerlukan kaca mata apabila ‘power’ lebih daripada 200, tanpa kaca mata individu tersebut akan mengalami masalah visual yang teruk.

 

“Tanpa kaca mata dan pemakaian mengikut kesesuaian sudah pasti menyukarkan lagi kehidupan seharian, tambahan pula sekarang semua pihak perlu bekerja walaupun dalam suasana PKP,” katanya.

Dalam mempertingkatkan kebersihan premis, semua pemilik mengamalkan proses nyah kuman sebelum dan selepas waktu perniagaan.

Selain itu, cermin mata yang telah dicuba akan diasingkan bertujuan untuk pembersihan dan pembasmian kuman.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING