Tinjauan : Remaja 12 tahun boleh ‘walk-in’ ke PPV mulai hari ini, inisiatif dipuji waris

MUHAMAD Soleh, diiringi bapa, Mohd. Daud Abdul Rahaman mempamerkan dokumen berkaitan selepas mendapatkan suntikan pertama secara hadir terus di PPV Dewan Serbaguna Jawi pada 8.35 pagi tadi.

JAWI – Pelajar berusia 14 tahun, MUHAMAD SOLEH MOHD. DAUD merupakan individu pertama yang menerima suntikan pelalian secara hadir terus (walk-in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dekat Dewan Serbaguna Jawi dekat sini pada 8:35 pagi tadi.

Ayahnya, Mohd. Daud Abdul Rahaman, 53, yang merupakan kakitangan di Pusat Pelupusan Al-Quran, terletak di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), memberitahu bahawa tinggal anak bongsunya sahaja masih belum mendapat janji temu untuk menerima dos pertama, sungguhpun telah membuat permohonan berkaitan menerusi aplikasi pintar MySejahtera lebih sebulan lalu.

“Apabila saya mendapat tahu bahawa mulai pagi ini PPV membenarkan semua (populasi) berusia 12 tahun dan ke atas hadir terus, 7:30 pagi lagi saya menemani anak ke Dewan Serbaguna Jawi.

“Untuk mengelak risiko menunggu terlalu lama, sengaja kami hadir sejam lebih awal, (semasa itu) tidak ramai yang menunggu; kurang 50 orang sebelum PPV dibuka seperti biasa pada jam 8:30 pagi.

“Saya tidak kisah sangat kalau anak lelaki saya tak boleh masuk pasar raya atau sebagainya kerana tidak lengkap dua dos suntikan.

“Tetapi, paling penting buat dia segera lengkap menerima dua dos suntikan vaksin adalah untuk hadir ke masjid bagi memenuhi kewajipan menunaikan solat fardu Jumaat tiap-tiap minggu.

“Justeru, saya puji kaedah hadir terus yang mula dibuka kepada pelajar-pelajar sekolah (berusia 12 tahun), bermula hari ini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada anggota barisan utama petugas kesihatan yang mesra pengiring kanak-kanak.

 

ADIK Rafaei Mohd. Rashid diiringi ibu (belakang, kiri) menerima suntikan pertama vaksin daripada seorang jururawat, sambil diperhatikan oleh Dr. Nur Zulaikha Ismail (belakang, kanan) dan Jason H’ng Mooi Lye (kiri sekali) di sini pada awal pagi tadi.

 

 

Nada hampir sama turut dikongsi oleh seorang ibu, Maziah Ibrahim, 45, yang menemani anak, RAFAEI MOHD. RASHID, 12, bagi menerima vaksin.

“Macam anak saya memang mendapat janji temu untuk hadir ke (PPV) Dewan Serbaguna Jawi pada pagi ini.

“Hampir setengah jam juga menunggu, saya lihat operasi di sini mesra waris dan berjalan lancar, sebelum anak saya menerima suntikan pertama pada jam 8:15 pagi tadi,” jelasnya.

Menurut Maziah, anaknya langsung diberi janji temu oleh pegawai bertugas bagi mendapatkan suntikan kedua vaksin berkaitan pada 21 Oktober akan datang.

 

SUASANA di dalam PPV Dewan Serbaguna Jawi pada awal pagi tadi menyaksikan para pelajar berusia 12 tahun diiringi waris sedang menunggu giliran mendapatkan vaksin berkaitan.

Sebelum pada itu, Buletin Mutiara sejak 8:00 pagi tadi membuat tinjauan umum pada hari pertama operasi pemberian vaksin secara hadir terus yang dibuka kepada semua populasi berusia semuda 12 tahun di PPV dekat Dewan Serbaguna Jawi.

Kelihatan beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta petugas-petugas Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) sedang membuat persiapan tempat.

 

DR. Nur Zulaikha Ismail

Ketua PPV Dewan Serbaguna Jawi, Dr. Nur Zulaikha Ismail yang ditemui kemudian berkata bahawa berdasarkan rekod pengunjung sebelum ini, pihaknya menjangkakan jumlah mereka yang hadir sehingga 5:30 petang pada hari ini adalah kira-kira 200 individu, termasuk kanak-kanak semuda 12 tahun.

“Kapasiti pemberian vaksin di PPV ini masih 1,200 suntikan sungguhpun pada Sabtu (2 Oktober 2021) lepas kita memberikan suntikan hampir 1,500 dos termasuk lepada mereka yang hadir terus.

“Pada hari ini, seramai 633 orang mempunyai janji temu bagi menerima vaksin, termasuk 188 individu yang bakal mendapatkan suntikan yang kedua.

“Seperti semalam, pemberian vaksin melibatkan pelajar-pelajar dari sembilan sekolah, namun, mulai hari ini kita menerima sahaja pelajar-pelajar sekolah serta dari institut pengajian tinggi swasta yang tercicir daripada mendapatkan suntikan pertama, secara hadir terus.

“Sejak 29 September, pelajar berusia 12 tahun dengan diiringi ibu bapa (atau waris sah) mula diberi janji temu bagi mendapatkan suntikan pertama.

“Jadi, kita (PPV Dewan Serbaguna Jawi) jangka mereka (populasi kanak-kanak berusia 12 tahun) yang akan hadir pada hari ini (sehingga 5:30 petang) adalah seramai 200 individu,” jelasnya lagi.

 

JASON H’ng Mooi Lye

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye yang turut memantau perjalanan hari pertama operasi pemberian vaksin yang dibuka secara hadir terus kepada semua termasuk pelajar berusia 12 tahun, antara lain berkata bahawa pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

“Sebagaimana disebut oleh Dr. Nur Zulaikha (iaitu sasaran 200 pelajar berusia 12 tahun akan datang secara hadir terus pada hari ini), saya sangat berharap keadaan sebegitu tidak membawa pada lambakan orang di sini dalam satu-satu masa,” tambahnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di PPV Dewan Serbaguna Jawi.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI MABILAH NOORAZIS