Tinjauan : Responden harap sistem carian keputusan SPM 2020 secara dalam talian lancar

Admin
GAMBAR seorang murid cuba akses masuk sistem SPPAT yang dibangunkan oleh KKM. | Gambar : Noor Siti Nabilah Noorazis

GEORGE TOWN – Semua sekolah boleh memuat turun serta mencetak keputusan penuh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 pelajar mereka menerusi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT).

Namun, Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali baru-baru ini dilaporkan memberitahu bahawa keputusan peperiksaan SPM 2020 hanya akan diserahkan kepada pelajar selepas keadaan mengizinkan kelak.

NUR SYAHIRAH ZAWAWI, 18, memberitahu Buletin Mutiara bahawa dia dan rakan-rakan melihat prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sepatutnya tidak memberi kesulitan kepada mereka memandangkan proses permohonan kemasukan ke universiti yang dibuat sebelum ini juga adalah secara dalam talian.

“Pada 7 Jun lepas lagi, pentadbiran sekolah telahpun meminta semua pelajar mengisi ‘Google Form’ untuk kenal pasti siapa ada masalah capaian internet di rumah…kalau ada masalah, sekolah akan bantu bagi pihak mereka mendapatkan keputusan SPM tersebut secara dalam talian.

“Lagipun, permohonan kemasukan ke Universiti Awam telahpun dibuat sebelum ini secara dalam talian juga dengan menggunakan keputusan percubaan SPM.

“Jadi, yang perlu dibuat selepas keluar keputusan sebenar SPM (2020) pada 10 Jun nanti adalah bagi tujuan untuk kemas kini permohonan sedia ada (secara dalam talian juga),” ujarnya ketika dihubungi wartawan, ZAINULFAQAR YAACOB pada 8 Jun 2021.

Responden yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Baling, Kedah memberitahu bahawa dia dan rakan-rakan akan dibantu oleh kaunselor sekolah serta beberapa guru lain sekiranya masih menghadapi sebarang masalah teknikal semasa memuat turun keputusan sebenar peperiksaan pada Khamis ini, bermula jam 10 pagi.

Difahamkan, kesemua calon SPM 2020 menduduki peperiksaan pada 22 Februari hingga 25 Mac lepas.

Dalam pekeliling berkaitan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini antara lain memaklumkan bahawa calon-calon sekolah atau calon persendirian boleh mendapatkan keputusan penuh SPM 2020 menerusi dua kaedah, iaitu :

i. Pertama, secara dalam talian menerusi pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my; dan atau

ii. Kedua, menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM<jarak>No KP<jarak>Angka Giliran dan hantar ke nombor 68886. Perkhidmatan SMS ini diaktifkan bermula pada 10 pagi 10 Jun 2021 hingga 6 petang 17 Jum 2021.

Seorang lagi responden, SYASYA IZZATI SYAHRUL AZRI, 17, memberitahu Buletin Mutiara bahawa dia lebih bimbangkan keputusan SPM 2020 yang bakal keluar pada 10 Jun ini berbanding proses mendapatkan slip peperiksaan ‘besar’ tersebut yang mungkin lewat serta bergantung pada waktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, kini.

“Terasa debaran juga kerana kawan-kawan cakap gred markah tak diturunkan walaupun rata-rata calon pemeriksaan menghadapi pelbagai kekangan sebelum menduduki peperiksaan pada awal Mac lalu (2021).

“Walaupun saya belajar di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) PDRM Kulim, dapat belajar secara bersemuka di (semasa PKP), bukan kerap dapat berjumpa dengan guru dan lebih banyak ulang kaji pelajaran bersama-sama rakan di asrama sahaja.

“Sebelum ini memamg saya ada mohon masuk matrikulasi dan UPU (Bahagian Kemasukan Pelajar Ke Universiti Awam) dan UTP (Universiti Teknologi Petronas), jadi tunggu keputusan sebenar SPM 2020 keluar untuk kemas kini permohonan (secara dalam talian) dan tunggu status permohonan,” jelasnya lagi

Bermastautin di Taman Pauh, Seberang Jaya, dia berkata sejak bulan Mei lepas lagi dia mengambil kuliah di UTP, secara dalam talian.

Seorang lagi responden, AZLAN ZAINUL ABIDIN, 20-an, calon persendirian memberitahu bahawa pihaknya berharap pangkalan data untuk memuat naik keputusan peperiksaan sebenar lancar serta tiada gangguan teknikal pada 10 Jun nanti.

“Baru-baru ini ramai yang merungut dengan masalah teknikal semasa membuat permohonan tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca sampai CITF (Badan Bertindak Imunisasi COVID-19) tampil memohon maaf dan nak siasat punca gangguan teknikal pada laman web mereka.

”Ini, kali pertama murid-murid akan akses sistem keputusan peperiksaan SPM secara dalam talian, kita tidak tahu bagaimana (tahan efisien) sistem tersebut.

“Saya harap dalam tempoh ditetapkan, sistem penyampaian KPM sama ada laman web ataupun SMS lancar dan tak tergendala dengan masalah teknikal yang rencam,” respons beliau sambil mengaku agak mendebarkan menunggu keputusan sebenar SPM 2020 yang akan diumumkan Khamis ini.