Tinjauan Umum : ‘Lockdown’ wajar dengan syarat laksana moratorium, bantuan kewangan diperluaskan

Admin
GAMBAR seorang pelanggan setia membeli bungkusan daging salai masal lemak di Lomaq Coffee dekat Seberang Jaya tadi.

SEBERANG JAYA – Sebanyak 6,806 kes baharu positif COVID-19 yang direkodkan pada hari ini, 20 Mei 2021, merupakan angka paling tinggi dalam sejarah, sungguhpun negara masih dalam tempoh pelaksanaan kali ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Lanjutan itu, pelbagai pihak mula menggesa Kerajaan Persekutuan hari ini melaksanakan PKP secara penuh dengan menutup semua ekonomi kecuali sektor keperluan berkaitan air, elektrik, tenaga, komunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan sebagaimana PKP 1.0 tahun lepas.

Dalam sesi tinjauan pada tengah hari tadi, rata-rata responden dalam kalangan peniaga memberitahu bahawa mereka tidak ada masalah sekiranya ‘PKP penuh’ dilaksanakan dengan syarat ada sistem sokongan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membela semua sektor ekonomi rakyat yang terjejas kelak.

IZYAN Mohd. Zaini

Menurut IZYAN MOHD. ZAINI, 37, iaitu pengusaha restoran Lomaq Coffee dekat Seberang Jaya, Kerajaan Persekutuan mesti melaksanakan moratorium selama tempoh enam bulan kepada semua rakyat termasuk peniaga yang terpaksa ‘tutup kedai’ sepanjang tempoh PKP penuh nanti.

“Laksanakan PKP penuh dengan syarat Kerajaan Persekutuan mesti memanfaatkan Ordinan Darurat dengan mengarahkan semua bank dan institusi kewangan tawar moratorium tanpa caj atau faedah tambahan seperti langkah penstrukturan kewangan (refinancing).

“Jangan seperti PKP 3.0 sekarang, operasi kedai makan secara terhad dengan hanya boleh bungkus makanan sahaja, sementara kilang-kilang besar terus dibenarkan beroperasi sampai ada sahaja ‘kluster kilang’, patut kilang yang ada kes baharu tutup terus semasa PKP penuh.

“Perketatkan lagi kawalan rentas sempadan daerah dan negeri tanpa kebenaran dengan memberikan hukuman lebih berat kepada ‘kluster kayangan’, jangan ada pilih kasih dengan beri kompaun tinggi kepada peniaga sahaja.

“Buat ala-ala PKP 1.0, baru ada kesan, dengan Bantuan Khas Kewangan terus diperluaskan lagi kepada rakyat tak bergaji tetap, bekerja sendiri atau dipaksa cuti tanpa gaji,” jelasnya lagi kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di Seberang Jaya tadi.

MOHAMAD Hafidz Adnan

Seorang lagi responden, MOHAMAD HAFIDZ ADNAN, 30-an berkata agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan juga perlu melaksanakan moratorium sebagaimana diamalkan oleh beberapa bank perdagangan, jika PKP penuh mahu dilaksanakan sekali lagi dalam masa terdekat.

“PKP 3.0 yang dilaksanakan sekarang pun, dah tak ada moratorium, kalau PKP penuh nak dilaksanakan sampai 21 hari selepas ini, tiada moratorium pukal dan bantuan-bantuan kewangan dalam kadar yang lebih munasabah kepada para peniaga, bertambah teruk kami.

“Apa guna Kerajaan Persekutuan nak laksanakan PKP penuh untuk tujuan melandaikan wabak (COVID-19) supaya ekonomi cepat pulih, dalam tempoh PKP penuh itu ramai rakyat terutama peniaga yang tengah sengsara hidup kian sengsara disebabkan tiada moratorium dan bantuan kewangan berpatutan,” respons beliau yang merupakan pemilik restoran hipster yang dikenali sebagai LokalHouz dekat Jalan Pasar di kawasan Parlimen Bagan.

SUASANA di LokalHouz pada sebelah malam sebelum PKP 3.0 dilaksanakan baru-baru ini.

Tambahnya lagi, sejak PKP 1.0 lagi kedudukan kewangan LokalHouz kian mencabar disebabkan tidak boleh berniaga seperti biasa.

“Sepatutnya agensi persekutuan tertentu sebagai pemilik lot komersial tempat kami menyewa di Jalan Pasar ini laksanakanlah pemotongan kadar sewa, kalau ya tak boleh laksanakan langkah moratorium ala bank-bank tertentu.

“Kalau PKP penuh dilaksanakan, agensi persekutuan pula tetap memburu kami untuk membayar sewa pada kadar penuh juga atas alasan ‘(mereka) ada KPI (petunjuk prestasi utama) dalam bentuk berapa banyak kutipan hasil yang berjaya dikutip semasa PKP’, bertambah teruklah kami.

“Justeru, moratorium atau potongan kadar sewa lot komersial milik mana-mana agensi kerajaan juga perlu dilaksanakan jika Kerajaan Persekutuan nak laksana PKP penuh nanti, supaya pada kemudian hari boleh menunjukkan berapa ramai peniaga Bumiputera berjaya dikekalkan dalam sektor ekonomi ini disebabkan polisi dan sistem sokongan kerajaan yang bagus,” jelasnya lagi.

‘MATHY‘

Nada hampir sama turut dikongsi oleh seorang lagi responden yang disapa dengan panggilan ‘MATHY’, 35, yang merupakan pengusaha kedai gunting rambut.

Menurutnya, jika PKP penuh dilaksanakan, janganlah hanya sektor-sektor perniagaan kecil dan sederhana sahaja diminta tidak beroperasi, sementara kilang-kilang besar terus beroperasi atas alasan sebagai sektor keperluan utama pada ekonomi negara.

“Pastikan tutup dari kedai biasa sampai MNC (syarikat multinasional).

“Kebelakangan ini, kes kematian COVID-19 pun semakin meningkat, kerajaan harus bertindak segera, jangan mengutamakan pemulihan ekonomi sahaja sampai rakyat ‘mati’ disebabkan tiada pakej bantuan khas dan moratorium jika nak laksana PKP penuh.

“Kerajaan jangan pilih kasih pada sektor-sektor ekonomi tertentu sahaja, mesti tolong peniaga secara keseluruhannya seperti bantuan kewangan minimum RM1,000 untuk sara hidup, bayar sewa kedai, begitu juga pekerja yang terjejas juga mesti dibantu.

“Jangan asyik ‘lockdown’ untuk perniagaan kecil sahaja….kita pun kena makan nasi juga, bukan rumput,” tegasnya lagi sambil mendesak Putrajaya bertindak lebih tegas terhadap ‘kluster kayangan’ yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) berwajib.

Petang tadi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata bahawa keputusan sama ada kerajaan persekutuan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan penuh atau ‘full lockdown’ seperti diperkatakan pelbagai pihak, dijangka akan dibincangkan esok.

END