Tinjauan : Warga Seberang Perai harap PKP semula, darurat tak jejas aktiviti ekonomi lokal

SUASANA di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya di sini pada pagi tadi.

MUNGKIN pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 hingga 26 Januari 2021, serta pengisytiharan perintah darurat sehingga 31 Ogos depan akan meletakkan penduduk tanah besar Seberang Perai sekali lagi dalam keadaan ekonomi serba mencabar.

ALAMERU Perumal

Bagi ALAMERU PERUMAL, 53, yang merupakan penjual bunga dan barangan kebudayaan di Pasar Sementara Seberang Jaya memberitahu bahawa beliau berharap pendapatan seisi keluarganya tidak terjejas.

“Esok (14 Januari), seluruh masyarakat India di negara ini akan menyambut perayaan Ponggal, namun pada hari ini PKP semula dilaksanakan.

“Sebagai peniaga kecil, perniagaan mesti diteruskan seperti biasa walaupun kita semua tahu keadaan sebenar ekonomi rakyat,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, Ahmad Adil Muhamad di sini pada awal pagi tadi.

Menurut Alameru, stok bunga-bungaan yang dibekalkan dari Tanah Tinggi Cameron, Negeri Pahang sehingga semalam adalah mencukupi untuk beliau berniaga dalam sehari dua ini.

Sementara barangan lain seperti tebu, kunyit, serai serta laddu (makanan kebudayaan masyarakat India) pula yang diperlukan sempena sambutan perayaan Ponggal, beliau memberitahu bahawa pihaknya mengambil daripada pembekal tempatan di bahagian pulau atau sempadan Perak-Pulau Pinang.

“Perniagaan berjalan seperti biasa sahaja pada pagi ini.

“Persiapan (menyambut perayaan Ponggal juga adalah) semacam biasa.

“Saya harap PKP semula dan perintah darurat yang baru diumumkan tak menjejaskan ekonomi rakyat, juga pendapatan peniaga,” jelasnya lagi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal.

Pengisytiharan darurat itu susulan sembah maklum oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang semalam sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Tinjauan umum Buletin Mutiara pada hari pertama pelaksanaan PKP dan darurat awal di sekitar bandar Seberang Jaya menyaksikan lebuh raya utama menuju ke bahagian pulau sesak teruk.

Sekatan trafik oleh para anggota barisan utama sebelum kaunter tol Jambatan Pulau Pinang dan beberapa kawasan lain mula beroperasi sejak 12.01 tengah malam tadi.

AIMAN Fashehah Ahmad

Seorang lagi responden, AIMAN FASHEHAH AHMAD, 30, yang ditemui kemudian berkata pihaknya turut berharap PKP semula dan pengisytiharan darurat tidak sampai menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk Seberang Perai.

“Setakat hari ini, seperti tiada sebarang perintah darurat diisytiharkan pengunjung diumumkan, pengunjung datang seperti biasa di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya.

“Sejak 18 Mac (2020), negara telah menempuhi norma baharu dalam tempoh PKP, PKP Bersyarat, PKP Diperketatkan dan PKP Pemulihan.

“Dan, sekarang PKP dilaksanakan kembali serentak dengan Proklamasi Darurat (iaitu) perintah darurat daripada segi politik seperti tiada sesi persidangan di Parlimen, tiada pilihan raya; bukan perintah darurat di mana tentera mengambil alih tampuk pemerintahan negara untuk mencegah penularan COVID-19.

“Pada pagi ini, semua kita boleh lihat aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti pakai pelitup mula, penjarakan fizikal dan periksa suhu badan terlebih dahulu sebelum masuk ke pasar awam sementara ini,” jelasnya yang juga pegawai pengurusan Pasar Awam Sementara Seberang Jaya.

LOOI Tiang Kat

Seorang lagi responden, LOOI TIANG KAT, 40, yang juga Biro Ekonomi bagi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Tenggiri turut berkongsi harapan sama.

Menurutnya, MPKK akan terus memberi kerjasama kepada anggota barisan hadapan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) demi memastikan amalan pematuhan SOP PKP berada pada tahap maksimum.

“Ini sahaja yang boleh MPKK lakukan, terus memastikan SOP diamalkan oleh pengunjung, dengan cara sebegitu akan memberi keyakinan kepada mereka untuk datang ke sini, sekaligus membantu ekonomi para peniaga di sini,” jelasnya lagi.

Sementara itu, 12 dan 13 Februari depan, masyarakat Cina akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Namun, seorang peniaga kecil yang mahu dikenali sebagai ‘MISS LIM’ berkata bahawa beliau tidak membuat persiapan yang banyak bagi menyambut Tahun Baru Cina.

“Untuk menyambut Tahun Baru Cina, selalunya para peniaga akan membuat persiapan stok niaga dua bulan lebih awal.

“Tetapi, pada tahun ini (2021), saya dan suami hanya menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Setakat hari ini, tiada orang datang beli lagi barang-barang sembahyang dan upacara ritual sempena persiapan Tahun Baru Cina,” jelasnya.