TKM1 harap Masjid Daerah jadi peneraju program imarah masjid peringkat kariah

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman tengah hari tadi mengagihkan RM1 juta dana untuk tujuan pengimarahan Masjid Negeri dan Masjid-masjid Daerah Bagi Tahun 2019.

Ketika berucap, beliau berharap pentadbir Masjid-masjid Daerah dapat menjadi model teladan dalam melaksanakan program-program pengimarahan dengan kepelbagaian nilai, untuk diikuti oleh penggerak-penggerak masjid di peringkat kariah.

“Masjid daerah ini perlu menunjukkan contoh teladan kepada masjid-masjid di peringkat kariah tentang kepelbagaian program-program (pengimarahan masjid).

“Kerana, kebanyakan masjid kariah ada yang ‘sunyi’ sikit, mungkin Masjid-masjid Daerah ini boleh jadi pencetus ataupun peneraju, untuk meningkatkan suasana imarah di masjid-masjid kariah berkenaan,” ujar Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Program Pengimarahan Masjid Negeri dan Masjid Daerah Tahun 2019 Daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP), Zulkifli Long turut menyertai majlis yang berlangsung di Auditorium F, Komtar pada 14 Februari 2019.

Dengan disaksikan Zulkifli, Ahmad Zakiyuddin menyerahkan cek replika dan cek kepada wakil pentadbir masjid-masjid berkenaan. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa bagi tahun 2019 menyaksikan Masjid Negeri mendapat peruntukan Program Pengimarahan dan Ehya Ramadan berjumlah RM510,000, dikuti, Masjid Abdullah Fahim (RM130,000); 

Menurut Ahmad Zakiyuddin, Masjid Daerah Barat Daya, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Masjid Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) masing-masing diberi peruntukan sejumlah RM90,000.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal turut mempromosi Program Karnival Khaira Ummah yang bermula pada hari ini, 14 sehingga 17 Februari 2019 di Masjid Abdullah Fahim dekat daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Katanya, acara kemuncak dalam karnival itu adalah Ceramah Perdana Ustaz Abdul Somad, iaitu seorang pendakwah terkemuka dari Indonesia yang akan diadakan pada 17 Februari 2019.

 

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB