TLDM rakam ucapan terima kasih projek baik pulih tembok laut berhampiran RNO

Admin

GEORGE TOWN – Panglima Wilayah Laut 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Abd. Hamid Ali merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas projek baik pulih tembok laut berdekatan Resident Naval Office (RNO) Padang Kota di sini.

Ucapan tersebut dizahirkan melalui satu kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi ini.

“Inisiatif tersebut merupakan salah satu kerja-kerja pembaikan tembok laut di Padang Kota, bagaimanapun kerja-kerja berkaitan adalah agak perlahan kerana ianya adalah sangat spesifik. Malah, sebelum ini, kerja-kerja tersebut turut menemui tiga laras meriam yang mempunyai nilai sejarah tinggi.

“Saya berharap kerja ini dengan berjalan lancar, kerja-kerja naik taraf cuma melibatkan separuh daripada parameter Fort Cornwallis kerana sebahagiannya lagi berada di kawasan RNO. Secara keseluruhan, projek tersebut dijangka siap dalam tempoh masa tiga tahun,” ujar Kon Yeow yang turut memaklumkan perkembangan mengenai projek penambahan tambatan bagi kapal persiaran berhampiran Swettenham Pier.

Hadir sama, Pegawai Wakil Tentera Laut, Leftenan Komander Daoud Ahmad Shamsuddin dan Pegawai Pemerintah KD Sri Pinang, Komander Lui Poh Lin.

Dalam kunjungan tersebut Kon Yeow dan Abd. Hamid turut membincangkan mengenai masalah pendatang asing yang memasuki negara ini secara haram melalui laluan laut.

“Kebiasaannya mereka (pendatang asing) memang menggunakan Langkawi sebagai pintu masuk, perairan Langkawi ke Pulau Pinang setakat ini memang selamat.

“Atas sebab itu Wilayah Laut 3 diletakkan di Langkawi, ini adalah atas faktor keselamatan, tambahan pula terdapat saudara mara pendatang ini sudah lama menetap di sana,” jelas Abd. Hamid yang memulakan tugas sejak Januari lalu.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG