Tong sampah – tanggungjawab bersama

Admin
SOON Lip Chee sedang memadamkan api di dalam tong sampah yang terletak berhampiran jalan raya yang boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat
SOON Lip Chee sedang memadamkan api di dalam tong sampah yang terletak berhampiran jalan raya yang boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat

SEBERANG PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memandang serius isu-isu berkaitan dengan Daerah Seberang Perai terutamanya aspek kebersihan. Bertindak sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), MPSP bertanggungjawab dalam aspek-aspek tersebut bagi menjamin kesejahteraan hidup penduduk Seberang Perai khasnya dan masyarakat sekeliling amnya.

Bagi mencapai matlamat menjadikan Pulau Pinang lebih bersih dan hijau, MPSP memainkan peranan yang sangat penting. Perkara pertama perlu dititikberatkan ialah dengan menyediakan tong-tong sampah untuk diletakkan di tempat-tempat yang telah ditetapkan.

Tong sampah yang disediakan mempunyai dua jenis iaitu ‘Kompak’ (bersaiz kecil) dan ‘Roro’ (bersaiz besar). Tong sampah jenis ‘Kompak’ diletakkan di kawasan kampung dan tempat awam yang khas sahaja. Manakala tong sampah jenis ‘Roro’ ditempatkan di pasar-pasar awam kerana saiznya yang mampu menampung kapasiti besar.

Sementara itu bagi premis-premis perniagaan seperti kedai-kedai adalah digalakkan menggunakan tong sampah sendiri bagi menjaga kebersihan premis masing-masing.

Difahamkan, Kerajaan Negeri sebelum ini tidak dapat menggantikan tong sampah yang telah rosak akibat bocor dan kemek. Ini kerana MPSP pada masa itu mengalami masalah kewangan yang kritikal.

Selepas Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih tampuk pemerintahan, terlalu banyak aduan diterima dan MPSP mengambil inisiatif untuk membekalkan tong sampah baru bagi menggantikan yang telah rosak. Ini kerana Kerajaan Negeri telah berjaya menangani masalah kewangan yang dihadapi sekaligus memulihkan imej MPSP di mata masyarakat.

Sebanyak 70 peratus tong sampah yang rosak telah dikutip balik dan dimusnahkan. Bagi tahun 2011, MPSP mempunyai peruntukan bagi membeli tong sampah baru untuk diberikan kepada kawasan-kawasan yang tidak mempunyai tong sampah.

Menurut Ahli Majlis MPSP, Soon Lip Chee, terdapat segelintir individu mengambil jalan mudah dengan membakar sampah yang telah penuh tetapi masih belum dikutip oleh pihak bertanggungjawab. Mereka disifatkan kurang berpengetahuan kerana tidak tahu sumber yang betul bagi mendapatkan maklumat berkaitan pengutipan sampah.

Orang ramai boleh terus menghubungi MPSP jika ingin mendapatkan maklumat mengenai jadual dan pihak yang bertanggungjawab dalam pengutipan sampah di daerah Seberang Perai.