Tonjol semangat harmoni, toleransi sepanjang sambutan Thaipusam – Ketua Menteri

16750855 a0eb 4b06 b39a e350ac42b9d9 KETUA Menteri (kiri) dengan diiringi R.S.N. Rayer mengadakan lawatan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Jalan Air Terjun di sini pada 31 Januari 2026.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru semua penganut dan pengunjung sambutan Thaipusam di Pulau Pinang agar terus mengekalkan semangat toleransi serta keharmonian sepanjang sambutan perayaan tersebut berlangsung pada kali ini.

e37a9f63 a55d 4c18 a19b 89813f6793ad
KETUA Menteri (tengah), S. Sundarajoo (kanan) dan R.S.N Rayer dalam sidang media berkaitan selepas mengadakan lawatan ke Thaneer Panthal sempena sambutan Thaipusam di Jalan Air Terjun dekat sini pada 31 Januari 2026.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri menganggap keharmonian yang dipamerkan sepanjang sambutan itu merupakan satu teladan yang cukup baik bagi menggambarkan keunikan masyarakat majmuk di Pulau Pinang.

“Semoga semua pihak dapat melangsungkan upacara dan perarakan dengan semangat bertoleransi dan harmoni.

“Ini adalah satu contoh terbaik yang menunjukkan bahawa dalam masyarakat majmuk, kita mampu menunaikan kewajipan agama masing-masing dalam suasana yang baik dan aman,” jelasnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Thaneer Panthal sempena sambutan perayaan Thaipusam di Jalan Air Terjun dekat sini pada 31 Januari 2026.

Di samping itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran sambutan besar-besaran itu, terutama daripada pasukan keselamatan dan petugas-petugas kebersihan serta Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB).

“Terima kasih diucapkan kepada semua agensi yang membantu, khususnya pasukan keselamatan, petugas-petugas pembersihan, Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang, serta seluruh warga negeri ini atas kerjasama yang diberikan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Bercakap pada sidang media sama, Pengerusi PHEB, RSN Rayer memberitahu bahawa kehadiran pengunjung bagi sambutan Thaipusam di Pulau Pinang pada tahun ini berpotensi melebihi 1.5 juta orang, berdasarkan pemerhatian awal dan maklum balas daripada jawatankuasa penganjur.

Pun begitu, tambah Ahli Parlimen Jelutong itu, angka muktamad hanya dapat disahkan selepas tempoh perayaan berakhir nanti.

“Persediaan dan langkah pengurusan orang ramai telah disediakan untuk mengendalikan sehingga 1.5 juta orang dengan selamat sepanjang sambutan ini,” ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rayer memberitahu bahawa acara perarakan pedati Thaipusam ke Kuil Arulmigu Sri Bala Thandayuthapani di Jalan Kebun Bunga masih diteruskan, walaupun mengalami kelewatan kira-kira satu setengah jam daripada jadual asal.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa acara perarakan dari Lebuh Queen sebenarnya bermula pada 5.45 pagi iaitu awal 15 minit, namun mengalami kelewatan juga adalah disebabkan kehadiran penganut yang sangat ramai di sepanjang laluan perarakan.

“Perarakan masih bergerak ke arah kuil, tetapi sedikit lewat kerana ramai penganut menjalankan ritual di sepanjang jalan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana meluangkan masa menyertai perarakan awal sempena sambutan Thaipusam pada petang tadi.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran berkata bahawa pentadbirannya mengerah kira-kira 500 kakitangan untuk memastikan kebersihan terjaga sebelum, semasa, dan selepas perarakan demi keselesaan awam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN